Pharmaniaga di landasan tepat bekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac akhir bulan ini | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga di landasan tepat bekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac akhir bulan ini

Pharmaniaga

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Syarikat farmaseutikal, Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) berada di landasan tepat mengikut kontraknya untuk membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Malaysia menjelang akhir bulan ini.

 

CGS-CIMB Research berkata, jumlah tersebut melibatkan kira-kira 5.1 juta dos 'fill-and-finish' dan 6.9 juta dos vaksin siap.

 

"Kami mendapati bahawa ini adalah sebahagian daripada jumlah dos yang dijamin diperoleh, kira-kira 24 juta dos, di mana 14 juta dos telah siap diisi dan dibungkuskan di kilang Pharmaniaga di Puchong, Selangor.

 

"Selain daripada kontrak pembekalan 12 juta dos vaksin kepada kerajaan, Pharmaniaga juga akan menawarkan baki dos kepada sektor swasta dan kerajaan negeri bagi mempercepatkan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)," jelas CGS-CIMB Research.

 

Pharmaniaga turut berusaha meningkatkan kapasiti pengeluaran dos vaksin hingga empat juta dos sebulan dengan memohon persetujuan Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi botol dua dos bagi vaksin Sinovac COVID-19.

 

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 3 Julai baru-baru ini turut melantik Pharmaniaga untuk menguruskan logistik dan pengedaran kira-kira 8 juta dos AstraZeneca di Malaysia melalui tender terbuka.

 

"Walaupun margin berkemungkinan lebih tipis berbanding kerja 'fill-and-finish' bagi Sinovac, kami berpendapat usaha ini akan mengimbangi kemelahan segmen-segmen lain akibat wabak COVID-19," tambah CGS-CIMB Research.

 

Dalam pada itu, kehadiran wabak COVID-19 dilihat tidak menjejaskan perniagaan utama Pharmaniaga kerana masih menerima permintaan yang tinggi daripada hospital awam.

 

Produk segmen pengguna dilihat menerima permintaan tinggi susulan kesedaran masyarakat berkaitan wabak.

 

"Kami berpendapat bahawa segmen yang paling terkesan dalam keadaan semasa adalah segmen penjagaan kesihatan peribadi susulan jumlah lawatan pesakit swasta yang berkurangan," jelas CGS-CIMB Research lagi.

 

CGS-CIMB Research mengambil pendekatan mengulangi saranan 'tambah' saham Pharmaniaga dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM1.06. - DagangNews.com