KUALA LUMPUR 25 Julai - Phillip Capital mengunjurkan TT Vision Holdings Bhd mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) didorong peningkatan penghantaran dan pesanan yang kukuh.
Katanya, kumpulan itu telah memperoleh kira-kira RM10 juta dalam tempahan baharu pada 2QFY24 merentas segmen solar, optoelektronik dan semikonduktor.
"Kami menjangkakan momentum pendapatan yang lebih kukuh pada separuh kedua, disokong oleh sektor solar dan semikonduktor dipacu peningkatan perbelanjaan modal yang berterusan oleh pelanggan untuk menerima pakai teknologi baharu dan mengembangkan operasi mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Pada Jun lalu, kumpulan itu meriah kontrak bernilai RM26.6 juta daripada peneraju global dalam inovasi solar.
Kontrak itu adalah bagi pesanan pembelian peralatan pemeriksaan dan pengasingan sel solarnya. Kontrak itu akan dipenuhi dalam tempoh enam hingga 10 bulan.
Firma penyelidikan itu berkata, syarikat kerjasama (JV) kumpulan itu dengan Wuxi Autowell sedang berjalan dengan baik, dengan pengubahsuaian kilang dijadualkan siap menjelang Ogos 2024 dan 50 pekerja diambil.
Katanya, kerjasama itu memperoleh tempahan awal untuk dua mesin, dianggarkan kira-kira RM2.5 juta, dan dijangka memulakan pengeluaran pada September ini, dengan penghantaran menjelang akhir tahun.
"Permulaan pengeluaran peralatan pemeriksaan sinar-X boleh berfungsi sebagai pemangkin penarafan semula," katanya.
Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.06 sesaham. - DagangNews.com