Pickupp bakal perluaskan operasi di Malaysia selepas meraih pembiayaan Siri A+ AS$15 juta | DagangNews Skip to main content

Pickupp bakal perluaskan operasi di Malaysia selepas meraih pembiayaan Siri A+ AS$15 juta

Crystal Pang, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Pickupp. Gambar techcrunch.com

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Pickupp, syarikat pemula niaga penghantaran, mengumumkan kejayaan mengumpul sekitar AS$15 juta dalam pembiayaan Siri A dan Siri A+ daripada pelabur-pelabur strategik serantau susulan pusingan pelaburan pertama pada November 2020.

 

Pusingan pembiayaan siri A+ diterajui dua syarikat gergasi e-dagang Taiwan, PChome dan Cornerstone Ventures, dengan penyertaan pelabur sedia ada, Swire Properties serta pelabur baharu termasuk Cathay Venture Inc. dan DRIVE Catalyst (bahagian teroka korporat Far Eastern Group) dari Taiwan, dan Jardine Matheson Group dan Zipx dari Hong Kong.

 

Syarikat berkenaan bakal memacu pengembangan baharu di Taiwan dan melebarkan sayap ke pasaran utama termasuk Hong Kong, Singapura dan Malaysia.

 

Ditubuhkan pada 2016, Pickupp memberi nafas baharu kepada logistik menerusi pendekatan berasaskan teknologi dan data. Perkhidmatan penghantaran dan teknologi ini telah menarik asas pelanggan setia, baik syarikat-syarikat multinasional terkenal dan gergasi logistik, mahupun perniagaan runcit dan e-dagang.

 

Di Malaysia, dana tersebut akan mengukuhkan kedudukan pasaran tempatan Pickupp sebagai rakan logistik pilihan penggiat-penggiat logistik terbesar di Malaysia serta perniagaan tempatan. Pickupp akan memperluaskan liputannya dan mengoptimumkan kecekapan operasi bagi memenuhi keperluan pasaran yang serba berubah.

 

Pembiayaan berkenaan akan membolehkan Pickupp memanfaatkan peluang daripada arus pertumbuhan e-dagang yang rancak. Menurut ramalan terbaharu Forrester, jualan runcit dalam talian di Asia Pasifik akan meningkat daripada $1.5 trillion pada tahun 2019 kepada $2.5 trillion pada tahun 2024, dengan kadar pertumbuhan tahunan dikumpul (CAGR) sebanyak 11.3%.

 

Menerusi kerjasama dengan rakan-rakan strategik, Pickupp bakal meneroka model e-dagang inovatif, khususnya di Taiwan yang menyaksikan peningkatan permintaan terhadap e-dagang rentas sempadan.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Pickupp, Crystal Pang berkata, wabak COVID-19 telah mencetuskan anjakan paradigma dalam tabiat pengguna, yang menyebabkan banyak peruncit beralih ke perniagaan dalam talian serta meningkatkan kehadiran digital bagi memenuhi lonjakan permintaan.

 

"Sejak tahun lalu, kami mendapati lebih banyak peruncit giat mencari penyelesaian penghantaran yang boleh dipercayai, fleksibel dan lebih pantas.

 

“Kami teruja kerana mendapat sokongan padu daripada pelabur-pelabur baharu dan sedia ada. Pendanaan pusingan ini akan membantu merancakkan pengembangan kami di Taiwan dan pasaran lain, di samping mempelbagaikan portfolio produk dan tawaran kami berdasarkan keperluan setiap pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut Crystal, pihaknya melihat peluang pertumbuhan yang besar di rantau ini, dan menerusi penyelesaian dan perkhidmatan berasaskan teknologi, Pickupp dapat meningkatkan sokongan kepada PKS dan membantu mereka memenuhi tuntutan ekonomi digital yang semakin mencabar.

 

"Kami teruja dapat berganding tangan dengan PChome, kerana pihak mereka berkongsi tekad yang sama terhadap inovasi dan tawaran perkhidmatan Dalam Talian-Ke-Luar Talian (O2O) yang bertaraf dunia,” tambah Crystal.

 

Pickupp yang berpusat di Hong Kong dan beroperasi di Singapura, Malaysia, dan Taiwan, telah menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai jenama global dan peniaga yang telah beralih ke model runcit O2O.

 

Di Taiwan, syarikat gergasi e-dagang tempatan PChome telah memilih Pickupp sebagai rakan logistik dan e-dagang bagi memperkasakan penghantaran ‘mil terakhir’ dan meningkatkan lagi keupayaan e-dagangnya.

 

Di Malaysia, Pickupp bekerjasama dengan syarikat-syarikat gergasi logistik, penggiat-penggiat e-dagang, dan PKS terkemuka bagi membangun dan mengoptimumkan ekosistem logistik tempatan.

 

Pengurus Negara Pickupp Malaysia, Navin Kandapper berkata, Malaysia menyaksikan lonjakan permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran, khususnya selepas mengharungi pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan dan sekatan.

 

Katanya, rakyat Malaysia bergantung pada e-dagang untuk membeli barangan persendirian, barang keperluan rumah dan juga barangan fesyen mereka.

 

"Ini dalam dilihat semasa musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini melalui rakan-rakan kongsi kami seperti FashionValet, dan kami menjangka fenomena ini akan berterusan dalam norma baharu," ujarnya.

 

Menerusi pembiayaan berkenaan, Pickupp Malaysia merancang untuk melebarkan sayap ke lebih banyak lokasi di Malaysia, mengembangkan ejen penghantarannya, dan terus melabur dalam teknologi bagi menaik taraf tawarannya di pasaran, sekaligus mewujudkan peluang pendapatan dan menyokong pemulihan perniagaan yang terkesan akibat wabak COVID-19.- DagangNews.com