Pixelvest: SC dakwa pengarah, dua individu lain terlibat dalam aktiviti pasaran modal tidak berlesen | DagangNews Skip to main content

Pixelvest: SC dakwa pengarah, dua individu lain terlibat dalam aktiviti pasaran modal tidak berlesen

Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Feb - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendakwa tiga individu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas empat kesalahan berkaitan aktiviti pasaran modal tidak berlesen.

 

Di mahkamah berasingan hari ini, Chin Wai Lan atau Sophia Chin dan Ang Jen Chuen (Dexter Ang) masing-masing didakwa di bawah Seksyen 58(1) dibaca bersama Seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 ( CMSA).

 

Mereka didakwa atas tindakan Pixelvest Sdn Bhd (Pixelvest) menjalankan perniagaan dalam pengurusan dana tanpa lesen dalam kapasiti masing-masing sebagai pengarah dan bekas pengarah Pixelvest.

 

Syaiful Riezal Ahmad pula didakwa secara berasingan melakukan dua kesalahan di bawah seksyen 58(1) dibaca bersama seksyen 370(b) dan 367(1) CMSA atas kapasitinya sebagai bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Infinity Trustee Berhad (ITB).

 

Tuduhan tesebut berkaitan tindakan ITB memindahkan dana berjumlah RM116.29 juta melalui dua akaun kepada Pixelvest bagi meneruskan kesalahan yang dilakukan oleh Pixelvest.

 

Perbuatan berkenaan didakwa berlaku di Petaling Jaya, Selangor antara Disember 2020 dan Ogos 2022.

 

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan denda maksimum RM10 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

 

Pengurusan dana ialah aktiviti terkawal seperti yang ditetapkan dalam Jadual 2 CMSA dan mana-mana orang yang menjalankan aktiviti ini perlu dilesenkan oleh SC.

 

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan itu. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah Pixelvest didakwa 17 tuduhan pengubahan wang haram, babit jumlah RM164.5 juta

 

Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Sabariah Othman membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada Dexter Ang manakala terhadap Syaiful Riezal, hakim membenarkan jaminan RM100,000 dengan dua penjamin.

 

Sementara itu, Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus pula membenarkan Sophia Chin diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin. 

 

Dia juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan kepada SC setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

 

Ketiga-tiga individu itu sebelum ini didakwa oleh SC pada 10 dan 11 Januari 2024 atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 .

 

Semasa menilai tawaran pelaburan, pelabur dinasihatkan oleh SC supaya berhati-hati. 

 

Orang ramai digalakkan menggunakan SC Investment Checker, portal sehenti yang terdapat di laman web SC - www.sc.com.my/investment-checker - untuk mengesahkan sama ada individu dan/atau entiti diberi kuasa oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal di Malaysia.- DagangNews.com