PKNPk jadi peneraju agenda teknologi hijau solar dan hibrid negeri Perak | DagangNews Skip to main content

PKNPk jadi peneraju agenda teknologi hijau solar dan hibrid negeri Perak

PKNPk telah menerajui pembangunan projek mini hidroelektrik dan memulakan inisiatif solar bagi memperkasakan inisiatif teknologi hijau.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 8 Jun - Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) kini diamanahkan sebagai peneraju bagi Pembangunan Projek Mini Hidroelektrik atau dikenali sebagai Hidro 2 yang bakal melibatkan pembangunan di sungai-sungai enam buah daerah di Perak.

 

Ia dalam usaha memperkasakan inisiatif pembangunan teknologi hijau yang dijangka memulakan operasinya pada tahun 2027 serta membuka peluang pekerjaan baharu dalam bidang dan kepakaran berkaitan.

 

Strategi untuk menarik masuk pelabur 'resource seeking' juga telah diadaptasikan bagi mengenal pasti pelabur untuk menerajui pembangunan industri ini. 

 

Pembangunan projek mini hidroelektrik secara owner-operator ini adalah usaha kerajaan negeri untuk mencapai sasaran 31 peratus penjanaan tenaga boleh baharu dalam kapasiti terpasang menjelang tahun 2025 manakala 40 peratus pada tahun 2035 sepertimana yang telah digariskan dalam Rancangan Peralihan Tenaga hingga tahun 2040.

 

Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak (kiri) dan Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn Bhd, Dato’ Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng (kanan) disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad semasa menandatangani Perjanjian Inisiatif Projek Solar Negeri Perak pada April 2021.
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak (kiri) dan Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn Bhd, DatoIr. Muhamad Guntor Mansor Tobeng (kanan) disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad semasa menandatangani Perjanjian Inisiatif Projek Solar Negeri Perak.

 

PKNPk juga telah memulakan inisiatif solar apabila memeterai perjanjian usahasama dengan Gading Kencana Sdn. Bhd. pada 21 April 2021 bagi pembangunan projek solar skala besar (LSS) di atas tanah seluas 43 ekar di Bidor.

 

Ia membabitkan pelaburan berjumlah kira-kira RM150 juta dengan janaan sebanyak 30 megawatt tenaga.

 

Selain itu, PKNPk melalui anak syarikatnya Majuperak Holdings Berhad (MHB) telah membangunkan beberapa inisiatif berasaskan teknologi hijau.

 

Antaranya pemasangan panel solar PV di bawah skim pemeteran tenaga bersih (NEM) 3.0 di Majlis Daerah Perak tengah (MDPT) melalui syarikat Majuperak United Solar JV Sdn. Bhd. (MUJV).

 

Pemasangan panel solar PV oleh MUJV di ruangan bumbung Majlis Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar.
Pemasangan panel solar PV di ruangan bumbung Majlis Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar.

 

Seterusnya pemasangan solar PV di Pasar Ayam Amanjaya Ipoh melalui perjanjian antara MUJV dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

 

MUJV membantu membangunkan parkir berbumbung solar panel sebagai jalan penyelesaian bagi tapak parkir aras bumbung yang tidak beratap.

 

Pemasangan solar JV ini dapat mengurangkan pelepasan lebih daripada 150 tan karbon dioksida (CO2) setiap tahun dan menjimatkan sebanyak RM2 juta keseluruhannya buat MBI.

 

Tapak pepasangan solar PV Majuperak Holdings di Keramat Pulai, Ipoh.
Tapak solar PV Majuperak Holdings di Keramat Pulai, Ipoh.

 

Majuperak juga telah diberi tanggungjawab bagi pembangunan ladang solar terapung melalui program LSS melibatkan kawasan air di Perak dengan projek perintis untuk dilaksanakan di Tasik Bukit Merah dan Tasik Kenering. 

 

Inisiatif ini dapat memastikan pembangunan LSS pada masa akan datang dapat dilaksanakan secara lebih terancang dan terkawal selain turut mampu membuka peluang pekerjaan di dalam bidang berkaitan. - DagangNews.com