PKP kedua akan 'bunuh' industri penerbangan negara | DagangNews Skip to main content

PKP kedua akan 'bunuh' industri penerbangan negara

INDUSTRI penerbangan tempatan kini seolah-olah berada dalam Wad Rawatan Rapi (ICU). - Gambar oleh NSTP

KUALA LUMPUR 23 Julai - Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan buat kali kedua akibat peningkatan kes COVID-19, maka situasi itu akan membunuh industri penerbangan negara.

Itu amaran Goh Bok Yen yang merupakan pakar rundingan pengangkutan selama 30 tahun, seperti dipetik laporan Free Malaysia Today (FMT).

Bok Yen berkata, industri penerbangan tempatan kini seolah-olah berada dalam Wad Rawatan Rapi (ICU) setelah beberapa bulan tidak dapat beroperasi susulan pelaksanaan PKP.

“Industri penerbangan cuba ‘bernafas’. Jika PKP dilaksanakan lagi, ia akan membunuh industri ini,” katanya. 

Baru-baru ini, kes penularan COVID-19 melibatkan rakyat tempatan kembali mencatatkan angka dua digit sekali gus mewujudkan kebimbangan pelbagai pihak. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusannya yang disiarkan dalam talian pada Isnin lalu menggambarkan PKP akan dilaksanakan sekali lagi sekiranya kes COVID-19 negara terus meningkat.

Baca : Industri penerbangan Malaysia dijangka rugi RM13b

Malah, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mendedahkan industri penerbangan negara dijangka mengalami kerugian sehingga RM13 bilion pada tahun ini. 

RM10.9 bilion daripada jumlah itu melibatkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad, Kumpulan AirAsia Berhad dan Malindo Airways Sdn. Bhd.

Pengendali lapangan terbang pula dijangka rugi sehingga RM2.1 bilion.

Sehubungan itu, Bok Yen menegaskan ekonomi Malaysia akan turut terjejas sekiranya industri penerbangan lenyap, sekali gus melumpuhkan sektor pelancongan negara.  - DagangNews.com