PKPKM 'intai' kerjasama MEDAC, MOA dalam bidang HVF | DagangNews Skip to main content

PKPKM 'intai' kerjasama MEDAC, MOA dalam bidang HVF

Datuk Aliasak Ambia

KUALA LUMPUR 10 Julai - Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) berhasrat untuk terlibat sama dalam kerjasama antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) bagi pembangunan bidang pertanian berimpak tinggi (HVF).

Presidennya, Datuk Aliasak Ambia berkata, pihak PKPKM sedia berganding bahu dengan kedua-dua kementerian terbabit memandangkan persatuannya juga turut memberi fokus sama melalui projek dalaman pekebun kecil muda. 

"Di peringkat dalaman kita sudah membuat dasar berkaitan pembangunan belia terutamanya di luar bandar yang menggunakan teknik pertanian HVF.

"Kami juga akan mengumpulkan peserta untuk dilatih melalui projek HVF yang ditetapkan melalui institusi latihan di bawah kerajaan seperti Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, MEDAC mengumumkan pihaknya akan bekerjasama dengan MOA bagi melahirkan lebih ramai usahawan agropreneur berkaitan pertanian dalam negara termasuk wanita selain memperkasa peranan koperasi pertanian.

pertanian

Jelas Aliasak lagi, satu memorandum persefahaman (MoU) antara PKPKM, Institut Penyelidikan Ekonomi (MIER) dan Kumpulan Pertanian Bernilai Tinggi (HVFG) di bawah Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) telah dimaterai untuk memberi fokus dalam peningkatan ekonomi pekebun kecil di Malaysia melalui HVF.

"HVFG mempunyai pakar dalam pelbagai jenis tanaman seperti bunga orkid, pisang, mangga harumanis dan beberapa tanaman lain yang mampu memberi pulangan tinggi.

"Oleh itu, kami amat berharap tiga entiti ini dapat dilibat sama untuk menyumbang idea dan kaedah pembangunan terbaik demi ekonomi golongan belia negara," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Aliasak turut menyentuh soal pembangunan koperasi luar bandar bagi menjana pendapatan ahli.

"Malaysia ada ratusan koperasi berkaitan pertanian dan semua koperasi ini perlu diperkasakan sebaiknya melalui penyertaan golongan muda dalam urusan pentadbiran.

"Contohnya Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ada 65 koperasi, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ada 56 koperasi, Koperasi Rancangan Peneroka FELDA ada 289 koperasi dan FELCRA ada lapan cawangan koperasi. Jumlah ini sangat banyak dan mesti dimanfaatkan dengan sebaiknya," ujarnya. - DagangNews.com