KUALA LUMPUR 6 Jan - Kumpulan Kitacon Bhd menerusi Kitacon Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM65.68 juta daripada KL-Kepong Country Homes Sdn Bhd bagi projek pembinaan 69 unit banglo di Precinct 4C1, Bandar Seri Coalfields, Kuala Selangor.
Kumpulan itu berkata, projek itu melibatkan pembinaan 30 unit baglo satu tingkat dan 39 banglo dua tingkat serta satu unit pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB).
"Projek itu akan bermula pada 3 Februari 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 20 bulan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham kumpulan.
Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Kumpulan Kitacon untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan seterusnya sehingga tamat kontrak.
Faktor risiko mempengaruhi kontrak termasuk perubahan dalam persekitaran ekonomi, politik dan kawal selia dan risiko operasi seperti risiko penyiapan serta kekurangan bahan serta buruh mahir yang mana Kumpulan akan mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengurangkannya. - DagangNews.com