PKS Mahu Peraturan dan Garis Panduan Yang Lebih Konsisten | DagangNews Skip to main content

PKS Mahu Peraturan dan Garis Panduan Yang Lebih Konsisten

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) meminta kerajaan untuk mempertimbangkan kembali garis panduan pembukaan ekonomi supaya ia lebih konsisten dan mencerminkan realiti pengoperasian.

 

Pengerusi, Dasar dan Hubungan Kerajaan, SAMENTA, Datuk William Ng berkata, pihaknya mengulangi seruan supaya tidak membezakan perniagaan ‘essential’ dan ‘non-essential’ supaya tidak mengelirukan mana-mana pihak dan supaya lebih adil kepada semua perniagaan.

 

Beliau berkata, keputusan pembukaan semula sektor ekonomi haruslah berdasarkan pada kemampuan setiap perniagaan atau industri untuk melaksanakan garis panduan penjarakan sosial dan keselamatan pekerja dan pelawat, serta status vaksinasi pekerja, pelanggan dan pelawat.

 

Sebagai contoh ujarnya, pasar pagi dan tani dibenarkan beroperasi tetapi pameran industri (trade show) di mana penguatkuasaan biasanya lebih teratur dan diadakan di tempat yang lebih luas, belum dibenarkan beroperasi.

 

‘’Contoh lain ialah kita membenarkan pembukaan semula kedai perabot di Fasa 1 PPN, tetap kedai menjual permaidani hanya dibenarkan dibuka semula pada Fasa 2. Adakah kedai permaidani lebih berbahaya daripada kedai perabot? Bagaimana jika sebuah kedai menjual perabot dan permaidani?,’’ soal beliau dalam kenyataan di sini.

 

William berkata, pihaknya menyeru kerajaan untuk menerima pakai garis panduan pembukaan semula ekonomi yang lebih konsisten dan sejagat atau ‘universal’, dan bukannya pendekatan bertingkat-tingkat yang diumumkan sekarang.

 

‘’Kami mencadangkan agar semua sektor ekonomi, termasuk pembuatan, pembinaan dan perdagangan, dibuka semula dengan kapasiti 80% apabila 80% semua pekerja sesebuah perniagaan diberi vaksin sepenuhnya; sementara hanya pelawat atau pelanggan yang telah divaksin sepenuhnya dibenarkan masuk. Ini akan dapat memperkukuhkan kepercayaan terhadap vaksin dan mengelakkan kekeliruan di kalangan pihak penguatkuasa,’’ katanya.

 

 

william ng
Datuk William Ng

 

 

Selain itu ujar beliau, pihaknya menyeru supaya kerajaan segera mengarahkan semua agensi penguatkuasa untuk mengambil pakai pendekatan perundingan atau sistem amaran bertulis di dalam menguatkuasakan SOP, terutamanya pada minggu pertama garis panduan baru ini diguna pakai.

 

Katanya, perniagaan tidak harus didenda dengan serta-merta sekiranya terlepas pandang SOP dan sekiranya pelanggaran tersebut tidak mendatangkan bahaya kepada pekerja, pelanggan atau pengunjung.

 

SAMENTA menurut beliau, sekali lagi menyeru kerajaan untuk menyalurkan semua pengeluaran surat kebenaran beroperasi kepada satu agensi yang ditetapkan dan bukannya mewajibkan perniagaan melalui 'kementerian yang berkenaan' masing-masing. Ini telah menyebabkan sebilangan perniagaan tidak dapat beroperasi kerana tidak jatuh di bawah mana-mana kementerian atau ditolak oleh semua kementerian.  

 

Dibentuk pada tahun 1986, SAMENTA adalah persatuan untuk perusahaan kecil dan sederhana yang tertua di Malaysia. Misi kami adalah untuk memperjuangkan pengembangan PKS melalui pendekatan empat segi iaitu perundingan dasar, akses pasaran, pemerkasaan perniagaan dan pengembangan kemampuan. – DagangNews.com