PKS perlu kurangkan khidmat pekerja asing, tingkatkan penggunaan AI bagi lonjak ranking daya saing Malaysia - SAMENTA | DagangNews Skip to main content

PKS perlu kurangkan khidmat pekerja asing, tingkatkan penggunaan AI bagi lonjak ranking daya saing Malaysia - SAMENTA

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jun - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa sektor perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk segera mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan menggunakan alatan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu meningkatkan kedudukan daya saing Malaysia.

 

Presiden SAMENTA, Datuk William Ng berkata, PKS perlu segera mengurangkan kebergantungan mereka terhadap pekerja asing yang tidak mahir dan kurang mahir selain segera menyesuaikan diri dengan peralihan global ke arah ekonomi karbon rendah.

 

Katanya, mereka juga perlu segera mengguna pakai alatan AI dan segera beralih ke arah pendigitalan serta mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan.

 

"Kita perlu mengamalkan prinsip bahawa 'apa yang baik untuk perniagaan, baik untuk negara' - kerana realiti pasca-pandemik menunjukkan kesejahteraan rakyat di mana-mana sahaja berkait rapat dengan kemakmuran negara. 

 

"Apabila perniagaan dan ekonomi kita berjalan dengan baik, Malaysia bakal memperoleh lebih banyak pendapatan untuk tabung negara justeru mampu untuk membina jalan yang lebih baik, meningkatkan mutu sekolah dan memberikan keselamatan dan keselesaan yang lebih baik kepada semua rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia berada di kedudukan ke-34 ekonomi paling kompetitif IMD pada 2024, turun tujuh anak tangga

 

William berkata, kedudukan Malaysia menurun dalam ketara dalam lima daripada 20 sub-faktor yang memberi wajaran yang sama kepada kedudukan iaitu ekonomi domestik, produktiviti dan kecekapan, infrastruktur teknologi, amalan pengurusan, serta sikap dan nilai.

 

Beliau berkata, peningkatan mendadak dalam jumlah pekerja asing tidak mahir dan separa mahir memberi kesan kepada prestasi negara dalam sub faktor produktiviti dan kecekapan, kerana penarafan itu mengambil kira pertumbuhan produktiviti dalam pelbagai sektor setiap tahun.

 

samenta
Datuk William Ng

 

"Permintaan global yang lebih rendah untuk semikonduktor turut memberi kesan kepada petunjuk eksport teknologi tinggi negara. 

 

"Begitu juga dengan kekurangan tenaga kerja dalam sektor teknologi tinggi. Kekurangan tenaga kerja ini turut menjejaskan kemampuan kita untuk mengeksport perkhidmatan ICT yang juga mengalami penurunan mendadak pada 2023," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kelemahan nilai mata wang punca penurunan ranking daya saing Malaysia -Tengku Zafrul

 

William berkata, walaupun kedudukan semasa Malaysia adalah terendah dalam tempoh 20 tahun , semua perlu mengkaji dengan lebih mendalam bagi memahami mengapa dan kenapa negara berada di tahap itu.

 

"Daripada 20 sub-faktor yang diberikan penekanan yang sama untuk menentukan kedudukan, kita jatuh mendadak dalam lima bidang iaitu ekonomi domestik, produktiviti dan kecekapan, infrastruktur teknologi, amalan pengurusan serta sikap dan nilai. Peningkatan dalam pelaburan antarabangsa, pekerjaan dan pendidikan kita tidak mencukupi untuk mengatasi penurunan dalam lima sub-faktor berkenaan.

 

"Dalam sub-faktor ekonomi domestik, Malaysia terjejas teruk dalam petunjuk pertumbuhan KDNK per kapita benar.

 

"Ia disebabkan oleh peningkatan pesat dalam jumlah pekerja asing tidak mahir dan separa mahir yang telah memasuki negara pada tahun 2023 dek kerana peperangan yang berlaku di Ukraine dan konflik di bumi Palestin. Kita jatuh mendadak sebanyak 20 anak tangga (daripada tempat kedua kepada 22)," katanya.

 

William berkata, sektor perniagaan dan rakyat Malaysia secara amnya perlu bersama-sama memikul beban untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing.

 

Beliau berkata, ia memerlukan penelitian segera terhadap kepentingan sebagai sebuah negara termasuk meneliti polisi yang hanya menyokong komuniti tertentu yang akan terus menjejaskan daya saing negara dan menimbulkan persepsi alah bahawa Malaysia tidak menggalakkan persaingan. 

 

Katanya, kerajaan berada di landasan yang tepat dalam penyasaran subsidi yang membebankan negara dan menutup jurang pengelakkan cukai melalui inisiatif seperti e-Invois.

 

"Bagaimanapun, kita perlu tingkatkan usaha untuk meliberalisasikan peraturan tenaga kerja negara dan meletakkan tanggungjawab produktiviti individu di atas bahu rakyat Malaysia," katanya.- DagangNews.com