Plasmacluster bantu kurangkan lebih 90% virus SARS-CoV-2 | DagangNews Skip to main content

Plasmacluster bantu kurangkan lebih 90% virus SARS-CoV-2

Plasmacluster

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Teknologi Plasmacluster hasil ciptaan syarikat Sharp Corporation membuktikan keberkesanannya dengan keupayaan mengurangkan lebih 90% virus Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus 2 (SARS-CoV-2) di udara.

Sharp dalam kenyataannya hari ini berkata, keupayaan pengurangan tersebut mampu dilihat hanya dalam tempoh kira-kira 30 saat.

"Pada 2004, Sharp membuktikan keberkesanan teknologi Plasmacluster ke atas koronavirus kucing yang berkaitan dengan virus dalam keluarga Coronaviridae. Pada tahun 2005 pula, keberkesanannya terbukti terhadap virus SARS-CoV yang pernah berjangkit sekitar tahun 2002 hingga 2003.  

"Kini, Sharp telah menunjukkan keberkesanan Plasmacluster terhadap SARS-CoV-2 dalam titisan bawaan udara," jelas Sharp.

SARS-CoV-2 adalah sejenis virus yang menyebabkan kemunculan virus COVID-19 hingga menyebabkan lebih daripada 25 juta manusia dijangkiti virus berkenaan menjelang Ogos 2020.

Kejayaan tersebut dicapai dengan kerjasama Prof. Jiro Yasuda dari Pusat Penyelidikan Kebangsaan bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit, Universiti Nagasaki; Ahli Lembaga Persatuan Virologi Jepun, Prof. Asuka Nanbo dan Prof. Hironori Yoshiyama dari Jabatan Mikrobiologi, Fakulti Perubatan, Universiti Shimane.

Selain kerjamasa daripada pakar perubatan tersebut, teknologi itu turut mendapat kerjasama daripada sebuah institusi berprestij di peringkat antarabangsa dalam kajian penyakit berjangkit iaitu Universiti Nagasaki.

Sharp juga telah membuka pemasaran akademik sejak tahun 2000 bagi membuktikan keberkesanan teknologi berkenaan.

Usaha tersebut dilakukan bersama dengan organisasi penyelidikan bebas pihak ketiga di serata dunia.

"Setakat ini pelbagai organisasi penyelidikan bebas telah membuktikan keberkesanan klinikalnya untuk mengekang penularan virus termasuk influenza baharu, bakteria tahan ubat serta kutu penyebab alahan dan lain-lain lagi sekali gus membuktikan keberkesanan Plasmacluster.

"Sharp akan terus memberi sumbangan kepada masyarakat di samping menjalankan pelbagai kajian yang menunjukkan keberkesanan teknologi Plasmacluster," tambah Sharp lagi. - DagangNews.com