NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Nov - Kemudahan platform digital Tabung Haji (TH), THiJARI berjaya menarik lebih 1 juta pengguna sejak mula dilancarkan pada Februari tahun lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, THiJARI adalah inisiatif dan komitmen TH untuk memudahkan lebih 8 juta pendepositnya untuk melakukan transaksi secara dalam talian dengan selamat tanpa perlu hadir ke pejabat cawangan.
“Setakat ini, THiJARI merekodkan purata 50,000 transaksi sehari dan sebanyak 1.5 juta transaksi sebulan, melibatkan nilai deposit lebih daripada RM200 juta melalui dalam talian," katanya.
Jumlah transaksi melalui THiJARI juga telah melonjak tiga kali ganda dalam masa setahun yang lepas.
Ini menggambarkan permintaan tinggi daripada pengguna dan pendeposit yang semakin selesa dengan perkhidmatan digital yang ditawar oleh TH.
TH telah menggiatkan kempen pendaftaran THiJARI sejak November tahun lalu dengan menganjurkan pelbagai promosi bagi menarik lebih ramai pendeposit TH menggunakan THiJARI.
Bersempena kempen pendaftaran THIJARI baru-baru ini, seorang pendeposit wanita, Puan Rosni Yasin dari Telok Penglima Garang berjaya menjadi pengguna ke 1 juta dan bakal menerima hadiah wang tunai RM1,000.
TH berharap lebih ramai akan mendaftar sebagai pengguna THiJARI kerana ianya selamat, lebih mudah serta menjimatkan masa dan kewangan.
Pendeposit boleh melaksanakan transaksi secara dalam talian seperti urusan pertanyaan baki, cetak penyata, simpanan melalui pindahan, semak status haji, pendaftaran haji dan rayuan haji.-DagangNews.com