PM lancar portal perniagaan MalaysiaBiz | DagangNews Skip to main content

PM lancar portal perniagaan MalaysiaBiz

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan sebuah portal baharu bagi memudahkan urusan pendaftaran dan permohonan lesen perniagaan secara dalam talian.

 

Beliau berkata, portal berkenaan akan berfungsi sebagai one stop centre atau portal setempat yang akan mendokong agenda kerajaan digital.

 

"Menyedari peri pentingnya platform digital dan bidang perniagaan dan sumbangan PKS kepada ekonomi negara, Portal MalaysiaBiz dibangunkan oleh MAMPU (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia) untuk menjadi pemudah cara dalam urusan perniagaan setempat.

 

"Portal ini berfungsi sebagai one stop centre. Dengan menyediakan sebuah portal setempat bagi memudahkan pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen atas talian secara efisyen.

 

"MalaysiaBiz bertujuan mewujudkan persekitaran yang mesra peniaga bagi meningkatkan daya saing negara serta memacu pertumbuhan ekonomi setempat," katanya ketika melancarkan portal MalaysiaBiz secara maya di halaman Facebook MAMPU hari ini.

 

MalaysiaBiz dibangunkan oleh MAMPU yang merupakan sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MIDEC) dan SME Corp Malaysia.

 

MalaysiaBiz
Portal MalaysiaBiz 

 

Portal berkenaan turut mempunyai enam badan berdaftar perniagaan dan 11 pihak berkuasa berlesan (PBM) yang menjadi rakan strategik dalam penyediaan perkhidmatan.

 

Portal MalaysiaBiz menyediakan kemudahan untuk mendaftar perniagaan tunggal, perkongsian, koperasi dan firma profesional.

 

Sebanyak 23 jenis pendaftaran boleh dibuat melalui portal berkenaan seperti seperti perniagaan tungggal, perniagaan perkongsian, koperasi, body corporate dan multi-disciplinary practice.

 

Selepas perniagaan didaftarkan, lesen boleh dimohon berdasarkan agensi, aktiviti dan lokasi perniagaan.

 

Bagi permohonan lesen pula, sebanyak 105 jenis lesen perniagaan boleh dibuat, antaranya seperti lesen mengilang, barangan kawalan berjadual, lesen mesin cetak, lesen pemaju perumahan, lesen premis perniagaan dan iklan, lesen penjaja dan perakuan pendaftaran kontraktor.

 

Dalam ucapan yang sama, beliau turut menyeru para usahawan untuk mengambil peluang dengan membuat pendaftaran perniagaan melalui portal yang dilancarkan itu.

 

"Kepada para usahawan kecil dan sederhana sekalian, manfaatkanlah peluang ini untuk mendaftar dan memohon lesen perniagaan masing-masing melalui portal MalaysiaBiz.

 

"Marilah kita sama-sama menjayakan inisiatif ini dan semoga urusan saudara dan saudari dapat dipermudahkan," tambah beliau lagi.

 

Pelancaran portal berkenaan juga adalah usaha memperkasa agenda pendigitalan yang merupakan salah satu daripada teras dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 selain memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19.

 

Beliau sekali lagi menekankan sasaran kerajaan untuk mencapai 40% pendigitalan penyampaian perkhidmatan end-to-end iaitu E2E sepenuhnya menjelang akhir tahun 2020 berbanding 20.2% pada tahun 2019.

 

Baca:Kerajaan sasar peningkatan 40% perkhidmatan E2E akhir 2020. - DagangNews.com