PM umum pakej rangsangan baharu, Pemulih bernilai RM150 bilion | DagangNews Skip to main content

PM umum pakej rangsangan baharu, Pemulih bernilai RM150 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Kerajaan mengumumkan pakej rangsangan kelapan, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang bernilai RM150 bilion. 

 

Diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, Pemulih merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

 

“Pemulih bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi,” katanya ketika mengumumkan pakej rangsangan tersebut secara maya. 

 

Katanya, sejak pandemik COVID-19 melanda Malaysia, kerajaan telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion. 

 

Setakat ini, ujar Muhyiddin, lebih RM200 bilion telah disalurkan dan memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan. 

 

Belanjawan 2021 pula bernilai RM322.5 bilion dan masih berbaki RM100 bilion untuk dibelanjakan sehingga hujung tahun ini, katanya lagi. 

 

“Yang saya boleh janjikan hari ini, biarpun dalam ruang fiskal yang amat terhad, kerajaan Perikatan Nasional akan terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan saudara dan saudari semua. 

 

“Saya tidak akan berkompromi dalam soal memelihara kebajikan rakyat dan memerangi COVID-19,” tambah Muhyiddin lanjut. - DagangNews.com