KUALA LUMPUR 3 Ogos - Sektor perkilangan negara menunjukkan prestasi luar biasa, sekali gus dijangka mendorong ekonomi negara untuk terus pulih akibat penularan COVID-19.
Prestasi itu ditonjolkan menerusi Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) Perkilangan IHS Markit Malaysia yang mencatatkan skor 50.0 bagi bulan lalu, sekali gus mengatasi jangkaan 49.0.
Walaupun skor itu turun sedikit berbanding Jun (51.0), namun ia tetap menandakan pertumbuhan kali kedua bagi sektor perkilangan negara.
Skor PMI di bawah 50.0 menunjukkan penguncupan, manakala skor yang melebihi 50.0 menunjukkan pertumbuhan.
IHS Markit memberitahu, hasil pengeluaran sektor perkilangan negara terus berkembang dengan trend tempahan baharu meningkat secara ketara sejak penurunannya ketika April lalu.
Dalam masa sama, inventori bagi kedua-dua barangan pembelian dan siap kembali seperti biasa tetapi pada kadar perlahan.
Ini adalah susulan syarikat masih lagi berusaha untuk menyelesaikan tempahan yang tertangguh, bagaimanapun mereka terus yakin momentum ini akan berterusan.
Beberapa syarikat perkilangan menjangkakan permintaan pasaran itu akan mengukuh pada tahun mendatang, berdasarkan keyakinan terhadap prospek pengeluaran bagi tempoh 12 bulan mereka.
Selain itu, harga jualan turut meningkat susulan kos input melonjak pada Julai, disebabkan oleh kekurangan bahan mentah.
Walaupun PMI perkilangan negara memberangsangkan, namun IHS Markit memberi amaran bahawa prestasi itu mungkin merudum sekiranya negara berdepan dengan gelombang kedua jangkitan COVID-19.
Ketika ini, pihak berkuasa Malaysia memperketat semula prosedur operasi standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setelah kluster jangkitan COVID-19 baharu muncul. - DagangNews.com