KUALA LUMPUR 30 Jun - Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 4.25 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 3-Didik (ASB3 Didik) dan 1.76 sen seunit untuk Amanah Saham Nasional Equity 2 (ASN Equity 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.
ASNB dalam satu kenyataan berkata, pembayaran pengagihan pendapatan untuk dana harga tetapnya, ASB 3 Didik dan dana harga berubah, ASN Equity 2 berjumlah RM311.2 juta bagi TK dikaji.
"Bagi ASB 3 Didik, pengagihan pendapatan ini membabitkan pembayaran berjumlah RM288.4 juta yang memanfaatkan 302,672 pemegang unit, dan lebih tinggi berbanding RM275.4 juta yang diagihkan pada tahun kewangan 2020.
"ASB 3 Didik telah mencatatkan pendapatan direalisasikan bersih sebanyak RM295.7 juta, yang menunjukkan peningkatan 17.6 peratus berbanding tahun lalu.
"Pengagihan pendapatan untuk ASB 3 Didik adalah 240 mata asas mengatasi penanda aras 12 bulan Deposit Tetap Maybank dalam tempoh yang sama iaitu 1.85 peratus. Pengagihan 4.25% juga adalah lebih tinggi daripada pulangan harga Indeks Komposit KL FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) sebanyak 3.65% dalam tempoh yang sama," katanya.
Sementara itu bagi ASN Equity 2, ASNB berkata, agihan pendapatan 1.76 sen seunit bakal dimanfaatkan oleh 34,567 pemegang unit, dengan dividen berjumlah RM22.8 juta atau bersamaan dengan hasil dividen sebanyak 3.45% berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) dana pada 25 Jun 2021.
"ASN Equity 2 mencatatkan jumlah pulangan sebanyak 6.09% untuk tahun kewangannya berdasarkan NAB dana pada 25 Jun 2021. Ini mengatasi penanda aras berwajarannya sebanyak 0.75%, yang diwakili oleh 80% Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan 20% Deposit Tetap 12 Bulan Maybank," katanya.
ASNB berkata, prestasi kedua-dua dana ASB 3 Didik dan ASN Equity 2 umumnya didorong oleh pemulihan pasaran kewangan global dan domestik walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19.
Katanya, dana itu juga mendapat manfaat daripada inisiatif kepelbagaian porftfolio masing-masing yang terus memberikan hasil positif, dengan peruntukan untuk pelaburan antarabangsa meningkat kepada 20%.
"Pada masa yang sama, PNB terus meneroka peluang pelaburan baharu untuk membangunkan portfolio pelaburan yang berdaya tahan dan lestari dalam persekitaran pasaran yang sentiasa berubah," katanya.
Menurut ASNB, pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASB 3 Didik adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan, manakala ASN Equity 2 pula adalah berdasarkan baki unit yang dipegang pada 30 Jun 2021.
"Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana ini akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2021.
"Urus niaga di semua pejabat cawangan dan ejen ASNB untuk ASB 3 Didik dan ASN Equity 2 telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 24 hingga 30 Jun 2021 untuk memudahkan urusan pengiraan pengagihan pendapatan.
"Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di www.myasnb.com.my melalui aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana pejabat cawangan ASNB atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Julai ini," katanya. - DagangNews.com