POMEN lancar Engarage bantu bengkel kekal hubungan dengan pelanggan, raih pendapatan berulang | DagangNews Skip to main content

POMEN lancar Engarage bantu bengkel kekal hubungan dengan pelanggan, raih pendapatan berulang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jun - POMEN Autodata Sdn Bhd melancarkan Engarage, sistem pengurusan bengkel bersepadu yang direka bagi membantu bengkel kenderaan dan pusat servis mengekalkan hubungan baik dengan pelanggan dan memastikan pendapatan berulang menerusi interaksi yang diperibadikan.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif POMEN, Syed Zulhilmi Tuan Sharif berkata, sistem itu menyediakan maklumat perniagaan yang komprehensif seperti maklumat jualan, inventori alat ganti,  alat pemasaran, data pelanggan serta kereta, kewangan dan prestasi mekanik.

 

Katanya, mereka juga akan memperkenalkan e-Invois yang bakal diwajibkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kemas kini akan datang.

 

"Kami menjangkakan pendaftaran baharu daripada 3,000 bengkel di seluruh Malaysia menjelang Mac 2025, dengan sasaran pendapatan tambahan sebanyak RM3 juta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, Engarage menawarkan fungsi khas kepada bengkel dalam memastikan pelanggan mendapat maklumat secara langsung bermula daripada pengurusan tempahan dan sebut harga hingga pemeriksaan, penjejakan status, invois, dan proses pembayaran. 

 

pomen

 

Katanya, ia bagi memastikan pemilik bengkel dapat memberikan perkhidmatan yang lancar dan terbaik kepada pelanggan.

 

"Sistem ini menyediakan data dan analisa secara langsung, membolehkan perniagaan membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan data yang terkini. Ia akan membantu bengkel dalam mengenal pasti trend terkini, meningkatkan operasi, dan akhirnya mendorong pertumbuhan perniagaan. 

 

"Engarage juga merangkumi alat pemasaran untuk pemilik bengkel menjalankan promosi untuk pelanggan mereka, QR kehadiran mekanik, dan analisis pergerakan alat ganti. Lebih mudah lagi, ia hadir dengan aplikasi tersedia untuk platform Apple iOS dan Android," katanya.

 

Syed Zulhilmi berkata, menerusi Engarage, visi mereka adalah untuk mengubah industri bengkel automotif dengan melengkapkan pemilik bengkel dengan teknologi terkini agar kekal kompetitif. 

 

Beliau berkata, sistem itu berpotensi menetapkan penanda aras baharu bagi  pengurusan bengkel bukan sahaja di Malaysia, tetapi pada skala global. - DagangNews.com