Pos Malaysia lancar penyelesaian pemenuhan e-dagang (EFS) | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia lancar penyelesaian pemenuhan e-dagang (EFS)

KUALA LUMPUR 15 Julai – Pos Malaysia bersedia untuk memenuhi keperluan edagang yang kian meningkat di Malaysia melalui penyelesaian pemenuhan e-dagang atau EFS yang dipertingkatkan, selari dengan perkembangan pesat yang mengubah landskap e-dagang, serta memenuhi permintaan tinggi dan jangkaan daripada pelanggan.

 

Para pelanggan Pos Malaysia EFS mendapat manfaat daripada perkhidmatan hujung ke hujung (end-to-end) yang ditawarkan oleh syarikat tersebut. Perkhidmatan ini mempermudahkan keseluruhan proses e-dagang untuk pelanggan.

 

Logistik perbatuan pertama (first mile) melibatkan pengambilan produk daripada para peniaga atau dihantar terus oleh pelanggan ke gudang. Pada proses perbatuan pertengahan (mid-mile), produk disimpan mengikut spesifikasi penyimpanan yang diperlukan dan diproses untuk penghantaran setelah menerima pesanan.

 

Akhirnya, proses perbatuan terakhir (last mile) dilaksanakan oleh Pos Malaysia dengan menghantar barangan yang dipesan oleh pembeli.

 

Pos Malaysia EFS menawarkan integrasi yang lancar antara operasi dan sistem yang baru dipertingkatkan, memberikan perniagaan dan penjual e-dagang akses ke antara muka (interface) yang mudah digunakan, bagi pengurusan produk dan pesanan yang efisien. 

 

Pelanggan juga dapat memeriksa status inventori, maklumat produk dan jumlah stok secara masa nyata, yang dapat menjimatkan masa dan kos.

 

Dengan pemantauan penjualan masuk melalui pelbagai saluran, ketersediaan stok, pemilihan barangan mengikut pesanan dan pembungkusan dikendalikan sepenuhnya oleh Pos Malaysia, pelanggan EFS akan dapat memberi tumpuan terhadap aspek lain dalam perniagaan mereka.

 

Meskipun dikendalikan sepenuhnya oleh Pos Malaysia, pelanggan masih dapat mengawasi setiap proses melalui sistem khusus yang dapat diakses pada bila-bila masa.

 

Peningkatan sistem pula akan memanfaatkan pelanggan sedia ada dan juga perniagaan edagang pada masa hadapan (produk jenama, PKS dan PKS mikro). Pos Malaysia EFS hanya ditawarkan di Semenanjung Malaysia pada ketika ini, namun perancangan sedang dijalankan untuk memperluaskan perkhidmatan ini ke Sabah dan Sarawak.

 

"Secara fizikal, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Pos Malaysia telah menggandakan saiz gudang utamanya di Shah Alam yang kini meliputi kawasan seluas 24,200 kaki persegi," kata Pos Malaysia dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Kemudahan yang diperbesarkan ini memberikan peluang kepada pelanggan Pos Malaysia EFS untuk meningkatkan pengeluaran dan memenuhi permintaan para pembeli dengan lebih berkesan.

 

Pos Malaysia EFS menawarkan perkhidmatan pemenuhan biasa seperti penyimpanan, pengambilan, pembungkusan, penghantaran dan penjejakan pesanan, serta pengurusan inventori dan logistik hujung ke hujung yang cekap seperti perkhidmatan pengambilan, penghantaran dan pengembalian mengikut keperluan khas.

 

Pelanggan Pos Malaysia EFS juga menikmati jalinan rapi dengan platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, Shopify, WooCommerce dan sebagainya.

 

Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) yang diperkenalkan oleh kerajaan baru-baru ini akan meningkatkan pertumbuhan e-dagang dalam negara. PUPUK bertujuan untuk membantu PKS mikro dan PKS, termasuk para usahawan luar bandar, untuk mendigitalisasikan perniagaan mereka.

 

Oleh itu, Pos Malaysia EFS adalah kemudahan yang ideal untuk subsektor ini. Pos Malaysia EFS akan dapat membantu mereka meningkatkan perniagaan dan mendorong jualan menggunakan perkhidmatan bersepadu yang disediakan sistem tersebut.

 

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Pos Malaysia E-commerce Fulfilment Solution (EFS),
layari https://www.pos.com.my/business/pos-malaysia-efs.html dan klik ‘Try It out’ untuk
berhubung dengan wakil jualan Pos Malaysia. - DagangNews.com