Pos Malaysia lancar pusat pengedaran separa automatik di Lok Kawi | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia lancar pusat pengedaran separa automatik di Lok Kawi

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) telah melancarkan pusat pengedaran separa automatik di Pusat Pos Laju Lok Kawi, Sabah. 

Ini menjadikan pusat pengedaran separa automatik yang kedua di Sabah selepas Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Pusat berkenaan akan menjadi hab perkhidmatan surat, utusan khas dan bungkusan bagi penghantaran utama di bandar-bandar Sabah bagi meningkatkan kapasiti pemprosesan dan mempercepat penghantaran ke kawasan sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Kepayan, Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Kinarut, Lok Kawi, kem tentera dan kampung yang berdekatan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Mohamed Rozaidi Md. Sharif berkata, Sabah menunjukkan peningkatan sebanyak 41% dalam jumlah penghantaran bungkusan bermula Januari hingga Julai 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Pos Laju
MOHAMED ROZAIDI (kanan) dan Fadhlullah Suhaimi menerangkan bagaimana sistem proses separa automatik berjalan.

 

“Melihatkan kepentingan e-perdagangan dan peningkatan permintaan pelanggan, Pos Malaysia akan meneruskan program automasi yang progresif di seluruh negara. Syarikat akan mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan kecekapan dan kapasiti sejajar permintaan pelanggan dan menawarkan pengalaman pelanggan terbaik.

“Sebagai sebahagian daripada pelan transformasi kami untuk meningkatkan kebolehan, kapasiti dan kecekapan, kami menyasarkan untuk menyediakan lebih banyak pusat pemprosesan di Sabah dengan kebolehan separa automatik. 

“Kami menyasarkan untuk mencapai 1 juta kapasiti memproses bungkusan setiap hari di seluruh negara seiring peningkatan pembelian dalam talian dengan pertumbuhan e-perdagangan yang signifikan di seluruh dunia,” kata beliau dalam satu kenyataan. 

Pusat berkenaan telah dilancarkan semalam oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek diiringi Mohamed Rozaidi.

 

Pos Laju
MOHAMED ROZAIDI (kanan) dan Fadhlullah Suhaimi (tengah) ketika majlis pelancaran pusat pengedaran separa automatik di Pusat Pos Laju Lok Kawi, Sabah

 

Dalam pada itu, Pos Malaysia telah melancarkan sistem pengisihan separa automatik di 26 pusat pengedaran sedia ada di Malaysia yang dapat mengurangkan beban kerja manual oleh pekerja dan memperkemas gerak kerja bagi kecekapan proses. 

“Objektif terdekat kumpulan syarikat adalah untuk meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan yang sekali gus menambahbaik pengalaman pelanggan dengan adaptasi automasi dan digitalisasi seperti digariskan dalam strategi jangka masa tiga tahun syarikat untuk memodenkan rantaian nilai, amalan bisnes dan infrastruktur,” tambah Mohamed Rozaidi.

Sementara itu, Pos Malaysia juga akan meneruskan usaha dan inisiatif di bawah Pelan Transformasi Pos Sabah dan Sarawak (PTPSS) bagi memastikan semua komuniti di Sabah dapat menikmati akses perkhidmatan penghantaran, logistik dan lain-lain tanpa had . - DagangNews.com