Pos Malaysia lancar sistem bayaran pelepasan kastam secara dalam talian | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia lancar sistem bayaran pelepasan kastam secara dalam talian

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - Pos Malaysia Berhad melancarkan inisiatif digital bagi membolehkan pelanggan melengkapkan bayaran pelepasan kastam daripada sebarang peranti bagi menjimatkan masa dan campur tangan pihak lain.

 

Pelanggan kini boleh membayar yuran pelepasan dan cukai secara dalam talian menggunakan pelbagai saluran bagi mengurangkan masa yang diambil kepada minimum tiga hari daripada ketibaan di kastam sebelum dihantar.

 

Dengan menggunakan chatbot Pos Malaysia, pelanggan kini boleh melayan diri dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan telefon atau perjalanan ke lapangan terbang.

 

Pelanggan boleh melengkapkan pembayaran dengan menggunakan kad kredit kepada e-dompet.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, sektor logistik dikenali sebagai industri tradisional yang penuh dengan proses manual dan birokrasi.

 

Beliau berkata, di Pos Malaysia, pihaknya akan terus memanfaatkan teknologi digital dalam usaha memudahkan urusan dan memberi pengalaman terbaik kepada pelanggan.

 

"Transformasi digital kami akan membantu meningkatka kualiti perkhidmatan selain mengurangkan kos pengeluaran.

 

"Oleh itu kami memberikan tumpuan kepada automasi, analisis data, awan, memodenkan susunan teknologi dan penyelesaian kami yang akan menambah baik sama ada persekitaran kerja, khususnya mengenai keselamatan, perkhidmatan dan pengalaman pelanggan yang kami tawarkan serta kos kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pos Malaysia melaksanakan Fasa 1 sistem pelepasan kastam pada 1 September 2022 selepas menjalankan percubaan di Lembah Klang pada 15 Ogos 2022.

 

Bagi Sabah dan Sarawak, mereka akan menikmati perkara itu pada Fasa 2 yang dijangka pada hujung tahun ini. - DagangNews.com