Pos Malaysia perkenal kaedah bayaran tanpa tunai bagi perkhidmatan Ubat Melalui Pos | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia perkenal kaedah bayaran tanpa tunai bagi perkhidmatan Ubat Melalui Pos

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - Pos Malaysia Berhad bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kiplepay melancarkan sistem pembayaran dalam talian bagi perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP). 

 

Peningkatan itu mencerminkan komitmen bersama bagi memperbaiki dan meningkatkan kemudahan sistem kesihatan bagi rakyat Malaysia, terutamanya bagi mereka yang mempunyai keupayaan terhad untuk mengunjungi fasiliti kesihatan. 

 

Bagi tempoh Julai-Disember 2023, UMP dan Pos Malaysia telah menghantar lebih daripada 348,501 bungkusan preskripsi, menekankan peranannya yang penting dalam menyokong inisiatif sistem kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia. 

 

Ciri pembayaran dalam talian yang diperkenalkan itu, yang diintegrasikan melalui gerbang pembayaran Pos Malaysia ke dalam aplikasi MyUBAT KKM, membolehkan pesakit membuat pembayaran yang selamat dan mudah. 

 

Sistem ini menyokong pelbagai kaedah pembayaran, termasuk kad kredit dan debit serta perbankan dalam talian, memastikan proses transaksi yang lancar bagi semua pengguna. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen pihaknya terhadap inovasi dan kebolehcapaian dalam penjagaan kesihatan dengan menggabungkan teknologi pembayaran canggih ke dalam perkhidmatan UMP.

 

"Kami sedang menyusun semula operasi dan memastikan akses yang mudah bagi kemudahan semua. Ini menunjukkan dedikasi kami dalam memenuhi pelbagai keperluan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, dengan rangkaian penghantaran destinasi terakhir melebihi 11 juta alamat dan lebih daripada 3,500 titik sentuh di seluruh negara, Pos Malaysia memainkan peranan penting dalam menghubungkan komuniti dan perniagaan. 

 

"Pengenalan pembayaran dalam talian untuk UMP bukan sahaja mencerminkan komitmen kami untuk berinovasi tetapi juga usaha kami dalam meningkatkan perkhidmatan kami," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kiplepay, Norhizam Kadir berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan kerjasama itu dalam usaha memacu inisiatif inovasi dan pendigitalan.

 

“Kami sangat berbangga untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif revolusi pembayaran digital melalui keselamatan data transaksi, pengalaman yang memudahkan pengguna, dan fleksibiliti mod pembayaran digital," katanya. 

 

Perkhidmatan UMP tersedia di 354 fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara. Pengguna yang berminat boleh mengakses aplikasi mudah alih MyUBAT melalui Google Play, App Store, atau AppGallery.  - DagangNews.com