Pos Malaysia : Waspada scammer dan iklan jawatan kosong | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia : Waspada scammer dan iklan jawatan kosong

KUALA LUMPUR 17 Julai – Pos Malaysia Berhad mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan panggilan telefon, pesanan teks atau e-mel berunsur penipuan (scam) termasuk iklan jawatan kosong palsu yang menggunakan nama Pos Malaysia.

 

Penipuan-penipuan tersebut, yang juga dihadapi oleh perkhidmatan pos di seluruh dunia, menjadi makin tersebar dengan tujuan untuk memperdaya orang ramai dan mendapatkan maklumat seperti butiran kad kredit, kata laluan, maklumat akaun atau data peribadi yang lain.

 

Pos Malaysia menasihatkan orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat-maklumat tersebut dengan cara:


• Tidak membalas apa-apa permintaan melalui telefon / telefon mudah alih, perkhidmatan pesanan teks (SMS, WhatsApp dan lain-lain), e-mel atau kaedah lain. Paling penting, jangan klik pautan yang dihantar bersama mesej-mesej penipuan ini.



• Tidak berkongsi atau memasukkan maklumat sensitif di laman web/ portal yang tidak dimiliki Pos Malaysia. Kami juga mendapati wujudnya penipuan melalui e-mel yang menyasarkan orang ramai, dengan menggunakan nama dan logo Pos Malaysia tanpa kebenaran dan dihantar oleh pihak yang mempunyai niat untuk memperdaya.

 

Beri perhatian kepada ciri-ciri penipuan berikut untuk mengelak daripada menjadi mangsa:
• Penggunaan domain e-mel bukan milik Pos Malaysia, atau menyerupai alamat domain rasmi. Contohnya, cares@malasianpos.com, atau cs@possmalaysia.com. Pos Malaysia juga tidak akan menghubungi pelanggan menggunakan akaun e-mel percuma seperti Hotmail, Yahoo, Gmail dan lain-lain.

 

• E-mel yang menuntut pembayaran duti atau cukai Kastam untuk pelepasan bungkusan. E-mel ini harus diabaikan atau dipadam dengan segera. Jangan balas atau klik pada pautan yang disediakan dalam e-mel ini. Untuk bungkusan yang memerlukan pembayaran duti, pelanggan akan dimaklumkan melalui SMS dan jika nombor pelanggan tidak tersedia, Pos Malaysia akan memaklumkan pelanggan mengenai
pembayaran yang diperlukan melalui aplikasi jejak & kesan.

 

Mengenai ikIan jawatan kosong palsu, Pos Malaysia juga meminta orang ramai agar berwaspada dan sekiranya berasa ragu-ragu, disarankan agar selalu mengesahkan maklumat dengan merujuk kepada sumber yang sah dan dipercayai.

 

"Kekosongan jawatan di Pos Malaysia hanya diiklankan di laman web pekerjaan yang bereputasi dan sah, seperti JobStreet, atau di platform media sosial rasmi kami. Pos Malaysia akan sentiasa melindungi para pelanggan kami dan komited dalam memastikan semua maklumat peribadi dan transaksi kekal selamat dan terjamin," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sila lawat laman web Pos Malaysia di https://www.pos.com.my/news-info/online-securityfraud-and-scams.html untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keselamatan dalam talian, jenis-jenis penipuan, dan saluran pelaporan yang tersedia. - DagangNews.com