Power Root tidak menolak kemungkinan naikkan harga produk di UAE, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Power Root tidak menolak kemungkinan naikkan harga produk di UAE, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mac - Power Root Berhad tidak menolak kemungkinan akan menaikkan sekali lagi harga produk keluarannya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak lama lagi.

 

AmInvestment Bank Research berkata, bagi pasaran luar negara khususnya Asia Barat, kenaikan harga adalah lebih rendah dan perlahan berikutan kelulusan yang diperlukan daripada kerajaan tempatan.

 

"Oleh sebab itu, kumpulan itu hanya menaikkan sekali sahaja harga secara purata untuk pasaran itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun pesaing menaikkan harga pada 2021, kumpulan itu hanya memulakan kenaikan harga pertamanya pada Januari 2022 (purata 8%), disebabkan keupayaannya untuk mengunci kos bahan mentah yang lebih rendah.

 

Katanya, selepas itu, satu lagi kenaikan harga telah dilakukan pada Oktober 2022 (purata 5%), terutamanya untuk jenama Ah Huat dan Alicafe di peringkat borong.

 

"Pusingan ketiga pelarasan harga pada Januari 2023 disasarkan untuk semua saluran perniagaan termasuk luar negara dengan purata antara 5% hingga 10%.

 

"Kami mendapati pesaing utamanya seperti Necafe telah menaikkan harga pada Mac 2023 tetapi kumpulan itu menaikkannya secara mendadak kerana berjaya mendapatkan bahan mentah pada harga berpatutan yang mampu bertahan sepanjang tahun selain memiliki lebih ruang untuk pelaran harga," katanya.

 

Firma itu berkata, trajektori pertumbuhan kumpulan itu akan disokong oleh pengembangan berterusan dalam jangkauan pasaran dengan pelancaran lebih banyak produk jenama Alicafe baharu, yang kekal sebagai tunjang utamanya untuk pasaran tempatan dan eksport.

 

Katanya, kumpulan itu kini mempunyai 19 pengedar utama untuk pasaran tempatan dan satu pengedar untuk setiap destinasi eksport.

 

Firma itu berkata, bagi perbelanjaan mengurus, kumpulan itu telah mencerminkan sepenuhnya impak gaji minimum, manakala kenaikan harga elektrik akan dikenakan tambahan RM60,000 bulanan, iaitu kurang daripada 1% daripada keuntungan bersih FY23.

 

Selain itu, mereka memperuntukkan RM12 juta untuk penyelenggaraan dan jentera baharu untuk 9MFY23.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM2.67 sesaham. - DagangNews.com