KUALA LUMPUR 26 Sept - Powerwell Holdings Berhad telah memperoleh dua kontrak bernilai RM9.27 juta daripada Datapuri Sdn Bhd (“Datapuri”) untuk projek Sistem Transit Rapid Singapura-Johor Bahru (RTS Link).
Dalam satu kenyataan media hari ini, Powerwell berkata anak syarikatnya, Kejuruteraan Powerwell Sdn Bhd telah menerima dua tempahan pembelian pada 25 September melibatkan kerja pembekalan, penghantaran dan bantuan ketika ujian dan pentauliahan papan litar elektrik voltan rendah serta komponen peralatan berkaitan untuk RTS Link.
Kumpulan itu berkata kontrak terbabit melibatkan Pakej 4 untuk stesen dan pusat kawalan operasi, serta Pakej 6 bagi depoh dan bekalan kuasa).
Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan disatukan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (FY25).
Pengarah Eksekutif Powerwell, Catherine Wong berkata kontrak tersebut mempamerkan kredibiliti dan keupayaan kumpulan menyampaikan rumusan elektrik yang terbaik.
“Tumpuan utama kami adalah pada pengeluaran papan elektrik untuk mengelakkan sebarang kelewatan pembinaan. Kami bersedia memanfaatkan kepakaran kami dan menjamin penghantaran tepat pada masanya,” ujar beliau menjamin perkembangan lancar pembinaan RTS Link.
Tambahnya, kepakaran kumpulan dalam kawalan kuasa dan pengedaran dimanfaatkan agar mereka bersedia menyokong cita-cita meluas kerajaan untuk mengukuhkan hubungan serantau Malaysia dan memacu kebangkitan ekonominya.
“Memandangkan usaha infrastruktur seperti RTS Link memerlukan penyediaan kuasa rumit dan mantap, inovasi Powerwell memastikan pelancaran projek tepat pada masanya dengan kecemerlangan operasi yang berkekalan, menekankan kepentingan kawalan kuasa unggul untuk kemajuan infrastruktur yang berjaya.
“Kami berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif transformatif seperti itu,” tambah Catherine. - DagangNews.com