Press Metal diramal jadi pemain utama penangkapan dan penyimpanan karbon dalam sektor logam - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Press Metal diramal jadi pemain utama penangkapan dan penyimpanan karbon dalam sektor logam - MIDF Research

KUALA LUMPUR 22 Julai - Press Metal Aluminium Holdings Bhd diramal menjadi pemain utama penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dalam sektor logam dengan rang undang-undang mengenai CCUS akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi, kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, CCUS masih dalam peringkat pembangunan awal dan masih belum digunakan secara meluas.

 

"Bagaimanapun dengan kerjasama daripada penyelidikan dan pakar CCUS, kami yakin kumpulan itu boleh mempelopori CCUS industri selain mewujudkan peluang kerjasama dengan sektor boleh diperbaharui serta minyak dan gas dalam menjadi Malaysia sebagai hab. 

 

"Memandangkan industri terus meneroka laluan untuk mencapai pengurangan pelepasan karbon, kami optimis dengan inisiatif Press Metal dalam membangunkan model CCU yang boleh dilaksanakan dan boleh diguna pakai," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sebelum ini, Press Metal memeterai perjanjian kerjasama dengan Universiti Xi'an Jiaotong China bagi menjalan penyelidikan dan pembangunan (R&D) model CCU yang melibatkan proses pembuatannya.

 

MIDF Research berkata, perjanjian itu menyusuli memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara kedua-dua pihak pada Ogos 2023, bertujuan membangunkan model CCU yang berdaya maju dari segi ekonomi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, R&D itu melibatkan geran kira-kira RM7.7 juta yang disumbangkan kepada Press Metal dan dijangka siap menjelang Ogos 2026.

 

Kerjasama itu juga sebagai peluang penting untuk kumpulan itu mematuhi markah alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), sambil mencari model CCU yang komprehensif dan berkesan untuk memastikan kitaran penggunaan karbon yang mampan dalam industri.- DagangNews.com