Prestasi dagangan negara dijangka terus perlahan pada masa hadapan – pakar ekonomi | DagangNews Skip to main content

Prestasi dagangan negara dijangka terus perlahan pada masa hadapan – pakar ekonomi

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 22 Mei – Prestasi perdagangan Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih rendah pada masa hadapan berikutan permintaan luar yang menunjukkan ciri-ciri melemah, kata Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

 

"Saya fikir ini telah menjadi trend bersama dengan ekonomi serantau yang lain. Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Global bagi sektor pembuatan telah berada di bawah persempadanan 50 mata selama dua bulan berturut-turut dengan angka April mencapai 49.6 mata.

 

"Pada awalnya kita melihat PMI Global menyaksikan peningkatan pada Februari 2023 kepada 50 mata selepas mengalami penurunan sejak Jun tahun lepas," beliau memberitahu DagangNews.


 

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
                                 Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 


Mohd Afzanizam menjelaskan bahawa Ini bermakna pemulihan dalam pertumbuhan PMI Global pada bulan Februari adalah tentatif, dan mencerminkan bahawa permintaan luar kelihatan semakin mencabar.

 

"Pembukaan sempadan China dan pemulihan ekonomi China diharap dapat mengurangkan kesan kelemahan permintaan dunia.

 

"Namun, data yang baru dikeluarkan ini menunjukkan ia tidak memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi dunia serta pemulihan permintaan," jelas beliau lagi.

 

Mengambil contoh Pelaburan Aset Tetap (FAI), Mohd Afzanizam berkata FAI meningkat sebanyak 4.7 peratus, lebih rendah daripada anggaran konsensus pasaran sebanyak 5.5 peratus.

 

"Begitu juga, Jualan Runcit dan Pengeluaran Perindustrian (IP) China berada pada 18.4 peratus berbanding 10.6 peratus dicatat pada Mac serta dan 5.6 peratus (Mac: 3.9 peratus) yang lebih rendah daripada konsensus pasaran masing-masing sebanyak 21.0 peratus dan 10.9 peratus.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Jumaat melaporkan bahawa prestasi perdagangan Malaysia rendah pada April 2023 apabila susut 14.5 peratus kepada RM198.0 bilion tahun ke tahun susulan ekonomi global yang tidak menentu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Dagangan Malaysia merosot 14.5% kepada RM198 bilion pada April 2023 - DOSM

 

Prestasi eksport Malaysia merosot 17.4 peratus daripada RM127.6 bilion kepada RM105.4 bilion pada April 2023 susulan eksport domestik yang lebih rendah, di mana eksport domestik bernilai RM80.4 bilion, menyumbang 76.3 peratus kepada jumlah eksport, menyusut 22.3 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas.

 

Eksport semula berjumlah RM25.0 bilion mengukuh 3.8 peratus berbanding April 2022 dan sejajar dengan prestasi eksport, import pada April 2023 turut mencatatkan penurunan 11.1 peratus daripada RM104.1 bilion kepada RM92.6 bilion.

 

Jumlah dagangan berkurangan 14.5 peratus kepada RM198.0 bilion daripada RM103.5 bilion pada April 2022 manakala lebihan dagangan turun 45.3 peratus kepada nilai RM12.8 bilion. – DagangNews.com