Prestasi ekonomi Mei dan Jun kekal mencabar - Firma | DagangNews Skip to main content

Prestasi ekonomi Mei dan Jun kekal mencabar - Firma

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Prestasi ekonomi Malaysia pada bulan Mei dan Jun kekal mencabar walaupun negara menyaksikan petunjuk-petunjuk ekonomi yang cemerlang pada April. 

 

AmBank Research memberi amaran bahawa lebih banyak risiko yang ‘membelenggu’ ekonomi pada bulan berkenaan ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan susulan kes COVID-19 yang tinggi di Malaysia. 

 

“Pertumbuhan bagi sepanjang tahun ini diunjurkan sekitar 4.5%. 

 

“Pertumbuhan atau penurunan (prestasi ekonomi) akan bergantung kepada vaksinasi dan pengurusan kes COVID-19,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian. 

 

Pada April 2021, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) serta perdagangan borong dan runcit Malaysia masing-masing meningkat 50.1% dan 66.2% berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Baca : IPP diunjur lebih kukuh pada suku kedua - Firma

 

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, AmBank berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada April dijangka mencatatkan pertumbuhan yang kukuh sekitar 33% hingga 37%. 

 

Selain daripada data ekonomi yang kukuh, asas yang sangat rendah turut menjadi salah satu faktor melonjakkan prestasi bulan berkenaan.

 

Dalam pada itu, pertumbuhan perdagangan borong dan runcit Malaysia merupakan peningkatan yang paling pantas pernah dicatatkan sejak tahun 2013, jelas MIDF Research menerusi satu nota kajian berbeza. 

 

Ini juga merupakan pertumbuhan dua bulan berturut-turut ketika kesan asas rendah pada tahun lalu selain situasi ekonomi yang memulih secara beransur-ansur. 

 

“Bagi suku kedua 2021 (2Q21), prestasi perdagangan borong dan runcit dijangka lebih kukuh memandangkan kesan asas masih lagi ada. 

 

“Pelaksanaan lockdown sepenuhnya ketika ini akan mendatangkan impak ekonomi yang lebih tinggi berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, namun lebih rendah berbanding PKP pertama. 

 

“Dalam pada itu, masih terdapat faktor penyokong yang akan mengimbangi impak ekonomi, di mana tidak wujud semasa PKP pertama. Ini termasuk penggunaan digitalisasi yang lebih tinggi, program imunisasi kebangsaan yang akan dipercepatkan dan mencapai imuniti kelompok pada hujung tahun ini serta pakej rangsangan tambahan, Pemerkasa Plus,” tambah MIDF. - DagangNews.com