Prestasi kewangan SP Setia pada suku kedua, ketiga dijangka lemah | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan SP Setia pada suku kedua, ketiga dijangka lemah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - SP Setia Berhad dijangka mencatatkan perolehan yang lebih lemah pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) dan 3QFY21, dari segi perbandingan suku tahun (q-o-q).

 

Ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sejak 1 Jun lalu dijangka menyebabkan kerja-kerja pembinaan kumpulan bergerak perlahan, jelas penganalisis di Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB), Wong Wei Sum.

 

Dari segi jualan, Wei Sum berkata bahawa kumpulan menumpukan untuk menukar RM1.3 bilion nilai tempahan di samping menangguhkan pelancaran baharu sehingga Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditamatkan. 

 

“Kami mengubah unjuran perolehan pada FY21, FY22 dan FY23, masing-masing sebanyak -29%, -16% dan 7% untuk mengambil kira perkembangan pembilan yang lebih perlahan disebabkan oleh Fasa 1 PPN serta PKP Diperketatkan (PKPD) di Kuala Lumpur dan Selangor selain margin sebelum cukai antara 5% hingga 8% di Battersea Power Station (BPS) Fasa 2 dan 3 (daripada unjuran margin sebelum cukai sebanyak 8% hingga 11%),” jelas Wei Sum dalam satu nota kajian.

 

Bagaimanapun, ini mungkin berubah sekiranya SP Setia menjual tanah-tanah yang bukan utama di Pulau Pinang, Pontian, Tanjung Kupang, Klang, Semenyih dan Kuala Lumpur dengan ukuran berjumlah 1,295 ekar. 

 

Momentum jualan SP Setia semakin menyusut sejak Jun 2021 kerana pelaksanaan Fasa 1 PPN memandangkan semua galeri jualan ditutup dan tiada pelancaran baharu pada tempoh ini. 

 

Bergantung kepada status PPN, SP Setia tidak menolak kemungkinan untuk menunda beberapa pelancaran baharunya pada separuh kedua tahun 2021 (2H21) yang bernilai RM3 bilion dari segi nilai pembangunan kasar (GDV) kepada 2022.

 

“Bagaimanapun, SP Setia kekal yakin untuk mencapai sasaran jualan berjumlah RM3.8 bilion bagi FY21, sebahagiannya disokong oleh nilai tempahan RM1.3 bilion yang diraih pada April hingga Mei 2021,” tambah Wei Sum.

 

Maybank IB membuat saranan ‘beli’ saham SP Setia dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM1.39 sesaham. - DagangNews.com