Prestasi positif Dayang diunjur berterusan, didorong kontrak kerja lebih baik pada 2023 - HLIB | DagangNews Skip to main content

Prestasi positif Dayang diunjur berterusan, didorong kontrak kerja lebih baik pada 2023 - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 April - Prestasi positif Dayang Enterprise Holdings Berhad dijangka berterusan pada 2023, disokong oleh tempahan kerja yang lebih baik daripada syarikat minyak serantau dalam keadaan harga minyak yang tinggi.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research percaya faktor itu akan menyokong prestasi syarikat.

 

Firma itu juga berkata, nilai kontrak kerja yang lebih baik dan unjuran penggunaan kapal campuran dan kadar sewa harian (DCR) untuk kedua-dua Dayang dan Perdana Petroleum Bhd pada tahun kewangan 2023 (FY23) akan menyokong perkara itu.

 

"Kami percaya bahawa 2023 akan menjadi tahun keemasan bagi penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu kumpulan itu meraih kontrak untuk menyediakan bot penginapan kerja daripada Petronas Carigali.

 

Firma itu menyatakan bahawa ia adalah kemenangan kontrak kelima Dayang sepanjang tahun.

 

"Kami positif mengenai kemenangan kontrak ini. Bagaimanapun, kami menekankan bahawa tiada nilai kontrak didedahkan, tetapi kami menganggarkan DCR berkisar antara RM80,000-RM90,000 sehari," katanya.

 

Firma itu mengekalkan anggaran pendapatannya untuk Dayang kerana ia termasuk dalam andaian kemenangan kontrak dan kadar penggunaan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.87, yang sejajar dengan berbilang yang dikaitkan dengan semua pembekal minyak dan gas, perkhidmatan dan peralatan di bawah perlindungan kami," katanya. - DagangNews.com