Prestasi sektor perladangan pada separuh kedua 2024 diunjur positif disokong pengeluaran buah tandan segar lebih tinggi - HLIB | DagangNews Skip to main content

Prestasi sektor perladangan pada separuh kedua 2024 diunjur positif disokong pengeluaran buah tandan segar lebih tinggi - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research optimis terhadap prestasi sektor perladangan pada separuh kedua 2024  disokong pengeluaran buah tandan segar (BTS) lebih tinggi secara bermusim.

 

Katanya, selain itu ia juga didorong harga produk sawit yang stabil selain kos pengeluaran minyak awit mentah (MSM) yang stabil dan aktiviti penyimpanan semula produk penapisan menjelang pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) menjelang akhir 2024.

 

"Prospek di subsegmen penapisan, sebaliknya, berkemungkinan akan kekal lemah memandangkan lebihan kapasiti kemudahan penapisan di Indonesia (walaupun peningkatan dalam margin penapisan baru-baru ini menunjukkan bahawa yang terburuk mungkin telah berakhir).

 

"Kami mengekalkan andaian harga MSM bagi 2024-2025 sebanyak RM4,000 dan RM3,800 bagi setiap tan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun aliran pertumbuhan keluaran BTS bercampur-campur pada suku kedua tahun ini tetapi kebanyakan penanam masih positif terhadap pengeluaran BTS pada 2024.

 

Ia disokong oleh peningkatan produktiviti tenaga kerja yang berterusan, keadaan cuaca yang lebih kondusif dan corak tanaman yang lebih tinggi mengikut musim pada separuh kedua.

 

Katanya, kos pengeluaran MSM, sebaliknya, berada di landasan yang betul untuk menurun pada 2024, didorong oleh produktiviti yang lebih tinggi dan harga baja yang lebih rendah.

 

"Walaupun keadaan tenaga kerja bertambah baik, kami perhatikan bahawa tiga daripada lapan penanam mencatatkan penurunan tahunan dalam pengeluaran BTS mereka, iaitu Genting Plantations Bhd, Hap Seng Plantations Holdings Bhd dan TSH Resources Bhd.

 

"Penurunan pengeluaran yang didaftarkan oleh penanam ini disebabkan perkara termasuk tekanan pokok biologi dan peralihan corak tanaman di kawasan tanaman tertentu, dan kawasan penuaian yang lebih kecil (kesan daripada aktiviti penanaman semula)," katanya.

 

HLIB mengekalkan saranan 'neutral' dengan IOI Corp Bhd (beli; TP: RM4.22) dan Hap Seng Plantations (beli; TP: RM2.21) sebagi pilihan utama sektor itu. - DagangNews.com