Program Bulan Komuniti McDonald's beri impak positif kepada lebih 12,000 anak yatim | DagangNews Skip to main content

Program Bulan Komuniti McDonald's beri impak positif kepada lebih 12,000 anak yatim


SEREMBAN 26 Okt – McDonald’s Malaysia terus meningkatkan nilai positif dan mengukuhkan komitmen terhadap masyarakat melalui pelbagai inisiatif, sempena kempen Bulan Komuniti Kanak-kanak yang dianjurkan.

 

Bertepatan dengan program Komuniti @ McD & RMHC, syarikat tersebut komited dengan matlamatnya untuk membantu masyarakat di sekitar lokasi operasinya, dengan tumpuan khusus terhadap golongan kanak-kanak.

 

Sempena Bulan Komuniti Kanak-kanak tahun ini, McDonald’s dan RMHC menyumbangkan tilam dan bantal baharu kepada 25 rumah anak yatim, untuk memberi keselesaan kepada kanak-kanak di situ.

 

Dalam usaha memberi keceriaan kepada 12,000 kanak-kanak yang terlibat, kru McDonald’s dari 300 restoran turut menganjurkan parti sambutan hari jadi di 400 rumah anak-anak yatim di seluruh Malaysia pada hujung minggu lalu, sempena Hari Kanak-kanak Kebangsaan.

 

Dalam suasana pandemik ketika ini, McDonald’s berhasrat memberi sumbangan dan bantuan kepada golongan masyarakat yang memerlukan, khususnya kanak-kanak.

 

Untuk Bulan Komuniti Kanak-kanak tahun ini, sehingga kini, McDonald’s Malaysia telah membelanjakan RM350,000 untuk aktiviti susun atur rumah dan parti sambutan hari jadi di rumah anak-anak yatim seluruh Malaysia.

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, dengan keadaan rumah yang lebih baik, pihaknya berharap dapat memberikan persekitaran yang selesa dan selamat untuk perkembangan kanak-kanak ini.

 

‘’Kami berhasrat memberi inspirasi kepada kanak-kanak, dengan membolehkan mereka membesar menjadi individu yang mempunyai cita-cita dan aspirasi, pada masa sama memupuk semangat hidup bermasyarakat yang saling membantu antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

 

McD
Azmir Jaafar beramah mesra dengan anak-anak yatim pada majlis khas di Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan, baru-baru ini.

 

 

Azmir bersama-sama kakitangan dan kru McDonald’s Malaysia berganding bahu menjalankan aktiviti susun atur rumah di Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan, salah sebuah rumah  daripada 25 rumah anak yatim terpilih untuk kempen ini.

 

Sejak tahun 2017, restoran khidmat segera ini telah memulakan inisiatif Bulan Komuniti Kanak-kanak pada setiap bulan Oktober, dimana semua restoran McDonald’s mendekati kanak-kanak yang kurang bernasib baik melalui pelbagai inisiatif, seperti rombongan belajar, lawatan ke wad hospital dan lain-lain lagi.

 

Setiap tahun, dianggarkan 7,000 aktiviti kemasyarakatan berjaya dianjurkan di bawah program Komuniti @ McD & RMHC untuk membantu golongan masyarakat yang memerlukan di seluruh negara.

 

McDonald’s Malaysia dan kakitangannya sentiasa tekun melaksanakan inisiatif kemasyarakatan sepanjang tahun. McDonald’s dan RMHC secara aktif telah melaksanakan sumbangan pek “Kembali ke Sekolah” kepada kanak-kanak sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan.

 

Sehingga tahun 2021, dengan menekankan kepentingan pendidikan, hampir RM9 juta telah dibelanjakan untuk pek “Kembali ke Sekolah” dan diagihkan kepada lebih 95,000 kanak-kanak di seluruh negara. – DagangNews.com