Program FAMA Fest 2023 sasar jualan sebanyak RM5 juta melibatkan penyertaan 300 usahawan | DagangNews Skip to main content

Program FAMA Fest 2023 sasar jualan sebanyak RM5 juta melibatkan penyertaan 300 usahawan

Foong Hin (tengah) bersama Mohd Zolkafly (empat dari kiri) dan Aminuddin (tiga dari kiri) semasa merasmikan Program Perak FAMA Fest di RTC Gopeng.
Oleh Zaki Salleh

GOPENG 23 Jun - Nilai jualan sebanyak RM5 juta disasarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada Program FAMA Fest 2023 melibatkan penganjuran di lima buah negeri dengan penyertaan kira-kira 300 usahawan.

 

Bermula di Miri, Sarawak pada Februari lalu, FAMA Fest kini berlangsung di Perak sebelum ke Johor, Pulau Pinang dan Terengganu. 

 

Edisi Perak FAMA Fest 2023 berlangsung selama lima hari di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini sehingga Isnin melibatkan 103 usahawan dengan sasaran jualan sebanyak RM2 juta.

 

Lebih 100 gerai dibuka meliputi jualan makanan, florikultur dan haiwan selain pameran agensi kerajaan untuk kunjungan orang ramai.

 

Lebih 100 gerail jualan dibuka meliputi jualan makanan, florikultur dan pameran agensi kerajaan.
Lebih 100 gerai dibuka meliputi jualan makanan, florikultur dan pameran agensi kerajaan.

 

Penyertaan usahawan pada edisi di Perak adalah lebih ramai berbanding di Miri iaitu kira-kira 40 peserta.

 

Program FAMA Fest menjadi platform kepada petani dan usahawan untuk memasarkan produk keluaran mereka selain menyampaikan perkhidmatan FAMA kepada rakyat.

 

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, terdapat cadangan agar Program FAMA Fest diperluaskan ke setiap negeri.

 

Menurut beliau, perkara itu akan dibawa untuk perbincangan lanjut dengan beberapa agensi berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.

 

Program FAMA Fest 2023 menjadi platform kepada petani dan usahawan untuk memasarkan produk keluaran mereka.
Program FAMA Fest 2023 menjadi platform kepada petani dan usahawan untuk memasarkan produk keluaran mereka.
 
Jualan durian dari Batu Kurau antara yang menjadi tarikan pada pengunjung.
Jualan durian dari Batu Kurau antara yang menjadi tarikan kepada pengunjung.

 

"Biasanya agensi akan membawa cadangan kepada kita dan kita akan bantu mengkoordinasikan antara agensi dan jabatan untuk dijayakan.

 

"Namun, ini terpulang kepada FAMA berhubung tindakan yang perlu dilakukan serta ia bergantung kepada kemampuan dan kapasiti sedia ada," katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Perak FAMA Fest 2023 di RTC Gopeng semalam.

 

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Perak, Dato’ Mohd Zolkafly Harun dan Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli.

 

Foong Hin (tengah) menyaksikan penyampaian Geran Agropreneur Muda pada salah seorang penerima.
Foong Hin (tengah) menyaksikan penyampaian Geran Agropreneur Muda oleh Aminuddin (kiri) kepada salah seorang penerima.

 

Pada majlis sama turut disampaikan insentif berjumlah RM565,000 kepada 31 orang penerima iaitu usahawan tani meliputi beberapa geran.

 

Antaranya Program Rezeki Tani, Geran Agropreneur Muda, Pusat Pengumpulan Ladang, Pembangunan Outlet Pemasaran dan Geran Penambahbaikan Pembungkusan dan Perlabelan Produk Proses Untuk Pasaran Eksport. - DagangNews.com