Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Pelancaran Program New Gen Entrepreneurs Online Bootcamp (N-GENE) bakal memperkasa sosio ekonomi dan menggalakkan bidang keusahawanan golongan graduan belia.
Program yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ) itu merupakan program berstruktur yang akan membantu 2,000 orang belia dan graduan memulakan perniagaan.
MEDAC berkata, program berkenaan juga merupakan kesinambungan daripada program PROTÉGÉ – Ready to Work yang akan menyuntik semangat graduan belia untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya utama setelah menamatkan pengajian.
"MEDAC prihatin dengan persaingan dalam mendapatkan peluang pekerjaan yang terhad dalam situasi pandemik ini.
"Para graduan perlu keluar daripada kepompong pemikiran konvensional daripada menjadi pencari kerja iaitu 'makan gaji' kepada pencipta pekerjaan atau job creator dengan menjadikan bidang keusahawanan sebagai pilihan utama selepas tamat pengajian," jelas MEDAC dalam satu kenyataan hari ini.
Peserta Program N-GENE akan dilatih untuk memulakan perniagaan melalui latihan keusahawanan berstruktur yang merangkumi latihan asas keusahawanan serta bimbingan perniagaan selama tujuh bulan yang diterajui oleh PROTÉGÉ.
Selain daripada latihan keusahawanan dan bimbingan perniagaan, peserta program itu juga akan diberikan geran mikro permulaan perniagaan bernilai RM3,000 seorang.
Program berimpak tinggi khususnya kepada golongan graduan belia itu turut mendapat sokongan daripada SME Bank CEDAR, PERNAS, INSKEN dan juga TEKUN Nasional.
Program berkenaan terbuka kepada belia atau graduan yang berusia antara 18 hingga 30 tahun yang berminat untuk menjadi usahawan atau kepada mereka yang baru memulakan perniagaan digalakkan untuk memohon.
Program N-GENE yang merupakan salah satu inisiatif di bawah PEMERKASA telah memperlihatkan kolaborasi antara MEDAC, Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Belia dan Sukan.
Selain N-GENE, sebanyak 21 program atau inisiatif dengan anggaran kos RM83.4 juta telah dirangka di bawah kerjasama itu bagi membudayakan keusahawanan di kalangan belia, graduan dan atlet sejak Mei 2020.
Sehingga 30 Jun 2021, rekod menunjukkan seramai 1,238 orang daripada kumpulan sasaran telah menerima manfaat daripada kolaborasi tersebut. - DagangNews.com