Program PPV untuk sektor perladangan dan komoditi diluluskan, kata Khairy | DagangNews Skip to main content

Program PPV untuk sektor perladangan dan komoditi diluluskan, kata Khairy

Gambar Reuters

 

KUALA LUMPUR 1 Julai - Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah meluluskan sektor perladangan dan komoditi untuk dimasukkan ke dalam program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri. 

 

Perkara itu disahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin sekali gus menjadikan perladangan dan komoditi sebagai sektor keempat yang terlibat dalam program tersebut.

 

“Kami  sedang perhalusi perancangan daripada sektor-sektor lain seperti sektor peruncitan dan sektor pelancongan yang mungkin kami akan mulakan kemudian berdasarkan kepada keutamaan dari sudut pengoperasian sektor-sektor mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara,” katanya pada sidang media selepas melawat Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac), seperti dilaporkan Bernama.

 

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

 

Sebelum ini, kerajaan telah meluluskan program PPV industri untuk tiga sektor ekonomi termasuk pembinaan, pengangkutan dan pembuatan ataupun perkilangan. 

 

Pekerja bagi ketiga-tiga sektor itu dan termasuk perladangan dan komoditi akan diberi perlindungan vaksin. 

 

Jelas Khairy lagi, setakat ini, CITF telah meluluskan 27 PPV industri untuk sektor pembinaan, pengangkutan dan pembuatan atau perkilangan di bawah Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). 

 

Ini melibatkan 373,327 pekerja dengan sebahagian PPV berkenaan mula beroperasi hari ini, manakala sebahagian lagi pada minggu hadapan, ujar beliau lanjut. 

 

Jumlah itu adalah berdasarkan kepada keperluan negara untuk mengawal wabak jangkitan COVID-19 dan Khairy tidak menolak kemungkinan bahawa PPV industri bakal ditambah berdasarkan penilaian risiko dan laporan epidemik yang diterima pihaknya.

 

Mengulas mengenai vaksin berdos tunggal jenis CanSino, Khairy berkata, keutamaan itu setakat ini diberikan kepada negeri yang mempunyai penduduk di kawasan sukar diakses.

 

Berdasarkan perancangan kerajaan, vaksin berkenaan akan diberi kepada Sarawak, Sabah dan negeri di pantai timur. - DagangNews.com