Projek Lembah Chuping Perlis dijangka tarik pelaburan RM1 bilion | DagangNews Skip to main content

Projek Lembah Chuping Perlis dijangka tarik pelaburan RM1 bilion

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Projek Pembangunan Lembah Chuping (CVIA) di Perlis dijangka mampu meraih sehingga RM968.6 juta jumlah pelaburan dari dalam dan luar negara. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jumlah pelaburan itu melibatkan empat pelabur tempatan dalam kluster halal dan pendidikan serta empat pelabur asing (FDI) dalam kluster elektrik dan elektronik (E&E) selain teknologi hijau. 

Pelaburan tempatan ini dijangka membawa pelaburan masuk sebanyak RM415 juta dan mewujudkan 500 peluang pekerjaan yang terdiri daripada 150 pekerjaan mahir dan 350 pekerjaan separa mahir dalam bidang kesihatan.

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

 

Anggaran jumlah FDI ini adalah sebanyak RM553.6 juta dengan 5,100 peluang pekerjaan bakal diwujudkan merangkumi 1,530 pekerjaan mahir dan 3,570 pekerjaan separa mahir dalam bidang elektrik dan elektronik,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan Senator Kamarudin Abdun mengenai status terkini projek CVIA yang terletak di Perlis.

CVIA telah diluluskan pada tahun 2016 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11)dengan peruntukan berjumlah RM197.9 juta. 

Projek itu merangkumi pembangunan Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC), kerja-kerja tanah, sistem rangkaian jalan raya, perparitan, bekalan air, pembentungan, bekalan elektrik dan telekomunikasi. 

Dua komponen utama projek pembangunan CVIA adalah IBC dan kawasan perindustrian yang akan dilaksanakan dalam dua fasa.

Tambah Mustapa, IBC dengan kos RM40 juta telah siap dibina dan berfungsi sebagai pusat pentadbiran, operasi dan pemasaran bagi memudahkan para pelabur berurusan di CVIA, telah siap dibina di atas tanah seluas 5.25 ekar. 

“Pada masa ini, terdapat beberapa penyewa yang terdiri daripada pelabur-pelabur dalam bidang pengujian elektrik seperti Tessolve Sdn. Bhd. serta agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berfungsi di IBC. 

“Bagi komponen pembinaan kawasan perindustrian yang meliputi kawasan seluas 2,468.76 ekar, fasa 1 projek itu meliputi kawasan seluas 440 ekar yang terbahagi kepada dua peringkat penyiapan iaitu dengan kos RM184 juta di mana RM157.9 juta telah disediakan di bawah RMK-11 dan bakinya akan dibiayai di bawah RMK-12.

“Seluas 60 ekar yang bermula pada 1 Jun 2020 dan dijangka siap pada 31 Jan 2021. Sehingga kini status kemajuan adalah sebanyak 10%,” ujar Mustapa.

 Kerja-kerja pembinaan fasa 1 bagi keseluruhan kawasan dijangka siap pada 31 Mei 2022.

Fasa 2 pula meliputi kawasan seluas 2,028.76 ekar akan bermula pada suku ketiga tahun 2022. - DagangNews.com