Projek mega MRT3 dijangka lonjak sektor pembinaan tahun ini, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Projek mega MRT3 dijangka lonjak sektor pembinaan tahun ini, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 April - MIDF Research menjangkakan projek mega MRT3 akan melonjakkan sektor pembinaan pada tahun ini.

 

Firma itu mengunjurkan pakej utama projek itu akan dikeluarkan pada separuh kedua 2023 selepas ia disemak semula bagi mengurangkan kosnya sebanyak 10% kepada RM45 bilion.

 

Katanya, kehadiran semula pekerja asing secara berperingkat ke Malaysia dilihat sebagai perkembangan baik dan seharusnya tidak ada isu berbangkit dari segi tenaga kerja apabila projek MRT3 bermula.

 

"Pemain industri mungkin terjejas dengan kenaikan harga bar keluli di samping kenaikan harga bijih besi tetapi kami menjangkakan ia hanya menjadi masalah jangka pendek kerana China komited untuk membendung kenaikan harga itu," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma itu berkata, pembukaan semula ekonomi dan sempadan Malaysia sepenuhnya membolehkan kontraktor meningkatkan operasi kepada kapasiti yang lebih tinggi untuk mengejar kemajuan kerja yang hilang semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

Katanya, kontraktor sebelum ini mengalami kekurangan tenaga kerja akibat penghantaran pulang pekerja asing semasa kemuncak wabak pada 2020 dan 2021.

 

"Pembukaan semula ini juga telah membenarkan pemulangan secara beransur-ansur pekerja asing yang menjadi sandaran industri dan ini merupakan masalah yang semakin berkurangan bagi syarikat di bawah liputan kami," katanya.

 

Firma itu berkata, pada suku keempat 2022, nilai kerja yang dilakukan meningkat 15.7% kepada RM32 bilion didorong oleh kejuruteraan awam (37.9%), bangunan bukan kediaman (30.1% ), bangunan kediaman (21.8%) dan aktiviti perdagangan khas (10.2%).

 

Katanya, secara keseluruhan pada 2022, sektor pembinaan pulih 8.8% dengan nilai kerja yang dilakukan sebanyak RM121.9 bilion, selepas dua tahun merosot.

 

"Adalah ketara bahawa nilai itu masih lebih rendah daripada apa yang dicapai semasa tempoh pra-pandemik, iaitu RM146.4 bilion pada 2019, yang boleh dikaitkan dengan nilai dan jumlah pekerjaan yang lebih rendah yang diberikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

"Ia sepatutnya bertambah baik pada masa hadapan dengan pelbagai kerja infrastruktur dan kemudahan awam yang diumumkan semasa Bajet 2023 yang disemak pada Februari 2023," katanya.

 

Firma itu berkata, pilihan utama untuk sektor pembinaan ialah Gamuda (beli, TP RM5.04), Sunway Construction (beli, TP: RM2.00) dan IJM Corp (beli, TP: RM1.90), disebabkan kunci kira-kira yang kukuh dan kehadiran di luar negara. - DagangNews.com