Projek perbandaran Bernam Jaya beri peluang Lagenda Properties bertapak di Selangor | DagangNews Skip to main content

Projek perbandaran Bernam Jaya beri peluang Lagenda Properties bertapak di Selangor

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Sept - Pembangunan perbandaran baharu di Bernam Jaya akan memberi peluang menarik kepada Lagenda Properties untuk meluaskan perniagaan kumpulan selepas dipilih sebagai pemaju oleh kerjaan negeri.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, pembangunan tanah seluas 77.29 hektar itu dilihat sangat menarik kerana harga yang dikenakan adalah lebih rendah berbanding nilai pembangunan kasar (GDV) antara 8% hingga 10%.

 

Katanya, tanah berkenaan merupakan tanah kediaman dan ia tidak memerlukan kos tambahan untuk menukar status tanah selain memakan masa yang lebih pantas untuk dipasarkan.

 

Firma itu berkata, lokasinya yang terletak di Selangor menjadikannya lebih premium berbanding negeri lain kerana terletak berhampiran pusat bandar.

 

"Sebagai tambahan, kumpulan itu juga akan dapat mengekalkan simpanan tunainya kerana pembayaran akan dibuat secara berperingkat dan pembayaran pertama hanya akan dibuat selepas pembangunan dimulakan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Selangor menerusi anak syarikatnya, Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) untuk membangunkan perbandaran mampu milik pada skala besar di Bernam Jaya.

 

Pembangunan itu juga merupakan yang pertama buat mereka di Selangor selepas berjaya bertapak di Perak, Kedah, Johor dan Pahang.

 

Firma itu berkata, nilai pembangunan kasar (GDV) projek itu adalah sebanyak RM550 juta dengan lebih 2,000 unit rumah bertanah berharga di bawah RM250,000.

 

Difahamkan, Lagenda akan membayar KHSB sebanyak RM42 juta dalam tempoh lima tahun dengan pembayaran pertama bermula selepas 18 bulan atau semasa permulaan projek dan pembayaran itu adalah untuk 'kos tanah'.

 

"Perbandaran baharu itu terletak 75 kilometer dari Kuala Lumpur dan ia boleh diakses menerusi Lebihraya Utara Selatan.

 

"Mereka menjangkakan pelancaran pertama daripada perbandaran itu pada 4QFY23," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.61. - DagangNews.com