Projek solar pertama UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah bakal beri penjimatan RM13.5 juta | DagangNews Skip to main content

Projek solar pertama UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah bakal beri penjimatan RM13.5 juta

Dr Md. Amin (dua kiri), Nasaruddin (dua kanan) dan Wan Shaharuddin (tiga kanan) menyaksikan model cadangan pelaksanaan pemasangan sistem solar di Kampus Sultan Azlan Shah Proton City, Tanjung Malim.
Oleh Zaki Salleh

TANJUNG MALIM 1 Jun - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal melaksanakan projek solar pertama di kawasan Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini dengan kerjasama rakan strategik.

 

Ia menerusi perjanjian bekalan tenaga boleh baharu (SARE) yang dimeterai universiti tersebut dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta rakan strategik, Synergy Generated Sdn Bhd. (SGSB).

 

Kerjasama ini untuk membina panel solar photovoltaics (PV) berkapasiti 3.24MWpdi kampus pusat pengajian tersebut.

 

Projek yang bakal dimulakan dalam masa terdekat itu dijangka siap akhir tahun ini.

 

Dr Md. Amin (lima dari kiri), Nasaruddin (lima dari kanan) dan Wan Shaharuddin (tengah) menunjukkan dokumen perjanjian bekalan tenaga boleh baharu dengan TNB dan SGSB untuk membina panel solar PV di kampus UPSI Tanjung Malim.
Dr Md. Amin (lima dari kiri), Nasaruddin (lima dari kanan) dan Wan Shaharuddin (tengah) menunjukkan dokumen perjanjian bekalan tenaga boleh baharu dengan TNB dan SGSB untuk membina panel solar PV di kampus UPSI Tanjung Malim.

 

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md. Amin Md Taff berkata, ia selaras dengan hasrat universiti yang menyokong matlamat pembangunan mampan.

 

Menurut beliau, kerjasama antara UPSI Holdings dengan SGSB akan mewujudkan inisiatif bertepatan dengan objektif strategik UPSI ke arah pembangunan kampus pintar, digital, lestari dan mesra persekitaran.

 

"Projek solar fasa pertama di kampus itu bakal memberi manfaat dan penjimatan kira-kira RM13.5 juta dan pengurangan pelepasan gas karbon sebanyak 56,000 tan sepanjang tempoh konsesi selama 20 tahun.

 

"Lapan kawasan pembinaan yang dikenalpasti seperti dewan terbuka, parkir berbumbung serbaguna kompleks sukan, tapak pesta konvokesyen, bangunan fakulti, masjid dan beberapa kawasan lain," ujarnya dalam satu kenyataan.

 

Model cadangan pelaksanaan pemasangan sistem solar
Model cadangan pelaksanaan pemasangan sistem solar di kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
 

 

SGSB merupakan syarikat SARE yang didaftarkan pada 2010 dengan misi menceburi sektor tenaga boleh baharu. 

 

Sehingga kini, SGSB telah terlibat di dalam kerja-kerja kejuruteraan dan merekabentuk sistem solar PV berskala besar dan komersil dengan jumlah kapasiti melebihi 165MW.

 

SGSB juga adalah pemilik dan operator bagi dua buah ladang solar PV di Terengganu dengan ladang yang pertama telah beroperasi pada tahun 2014 menjadikannya ladang solar pertama di negeri tersebut.

 

Menurut Md Amin lagi, kerjasama itu juga bakal membuka lebih banyak potensi penyelidikan, pemindahan teknologi dan juga peluang pekerjaan kepada graduan UPSI yang berminat menceburi bidang tenaga boleh baharu.

 

“UPSI juga perlu melaksanakan projek-projek yang membantu meningkatkan kelestarian kampus dan alam sekitar sekaligus meningkatkan penarafan universiti ini dalam UI Green Metric World University Ranking berkenaan inisiatif hijau," jelasnya.

 

Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

 

UPSI ketika ini berada pada kedudukan penarafan 132 di dunia tahun 2022 dan inisiatif ini bakal melonjakkan kedudukan yang lebih baik pada tahun ini.

 

Terdahulu, majlis memeterai perjanjian bekalan tenaga boleh baharu (SARE) antara UPSI dengan SGSB dan TNB dimeterai di kampus universiti tersebut serta surat tawaran antara SGSB dengan Bank Islam Malaysia Berhad. - DagangNews.com