LUMUT 21 Ogos - Projek Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP) dibangunkan di sini yang bakal memacu ekonomi baharu selain menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Siap kelak ia akan menjadi hub pembekalan daging halal di negara ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencapai RM1 bilion.
Projek inisiatif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) itu akan dibangunkan secara berfasa mulai tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2025.
Terletak di kawasan seluas 43 hektar, lokasinya strategik kerana bersebelahan Plaza Tol Lekir Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata, projek Perak HIP ini adalah kesinambungan daripada program lembu tempatan yang dilaksanakan Perak SADC sejak 2022.
Menurut beliau, Perak SADC akan memperuntukkan kira-kira RM100 juga bagi penyediaan infrastruktur di kawasan tersebut.
"Buat permulaan, sebanyak RM20 juta akan digunakan untuk membina laluan bagi kemudahan akses dari WCE ke Perak HIP.
"Selain pekerjaan, projek ini apabila dimulakan juga dapat memberi peluang penglibatan kontraktor tempatan dalam pelbagai bidang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Yahanis Yahya.
Perak HIP akan mempunyai pusat pemprosesan daging dan ayam, kompleks penyembelihan dan pemprosesan, pusat penyelidikan serta kilang pemprosesan makanan haiwan.
Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan replika cek bernilai RM20 juta daripada Agrobank kepada Perak SADC bagi membiayai peserta-peserta yang terlibat dalam Perak HIP.
Turut dilakukan penyerahan surat sokongan bagi cadangan pembangunan Perak HiP antara Maybank Islamic Berhad dan Perak SADC serta memorandum usahasama antara Perak Agro Farm Sdn. Bhd., Ladang Lekir Sdn. Bhd. dan Eurofresh Sdn. Bhd. dalam pembangunan industri lembu tempatan. - DagangNews.com