Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]
SHAH ALAM 5 Ogos - Kempen pertama Ke Sana Ke Sini Ke Sunway kelolaan Sunway kini kembali sebagai Ke Sana Ke Sini Ke Sunway LAGI! berikutan sambutan hangat orang ramai.
Kempen pertama yang berlangsung dari 6 hingga 20 Julai lalu menyaksikan jualan melebihi 18,000 bilik penginapan malam di Sunway City Kuala Lumpur – melonjak 80% daripada sasaran awal.
“Hasil daripada kempen Ke Sana Ke Sini Ke Sunway pertama, Sunway menganggarkan lebih RM20 juta akan dibelanjakan ke keseluruhan hotel-hotel, taman tema dan pusat beli-belah Sunway,’’ kata Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Beli-Belah dan Taman Tema Sunway, HC Chan.
“Akan ada kesan gandaan yang besar. Selain daripada sumbangan langsung lebih RM5 juta daripada tempahan bilik yang disaksikan di dalam pakej pertama, sejumlah besar yang tidak secara langsung bernilai RM15.5 juta akan menyusul daripada perbelanjaan sampingan di keseluruhan ketiga-tiga perniagaan tersebut,’’ ujarnya.
Dengan permintaan sebegitu tinggi, suasana riang berterusan di Sunway City Kuala Lumpur dengan para pelawat menikmati pakej Ke Sana Ke Sini Ke Sunway LAGI! dengan harga yang bermula dari RM499. Kempen baharu ini bermula 1 Ogos hingga 21 Ogos dengan tempoh perjalanan dari 1 Ogos hingga 31 Oktober
Pakej baharu ini merangkumi penginapan tiga hari/dua malam di Sunway Pyramid Hotel atau Sunway Clio Hotel untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak; tiket masuk ke Sunway Lagoon (dua dewasa dan dua kanak-kanak) dan baucar bernilai RM50 untuk digunakan di Sunway Pyramid Mall. Pengunjung diingatkan bahawa Sunway Lagoon akan ditutup setiap hari Selasa mulai 1 Ogos. Pakej ini boleh diperoleh di www.sunway.city/kesanakesini
“Dari analisis kami, kejayaan kempen sebahagian besarnya dikaitkan dengan pembangunan bersepadu sinergistik Sunway City Kuala Lumpur yang membolehkan destinasi pelancongan all-in-one dengan protokol keselamatan yang sama digunakan untuk semua premis. Ini adalah jaminan keselamatan yang penting untuk ketenangan fikiran para pelawat,’’ kata Chan.
“Wawasan pengasas dan pengerusi Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, untuk mewujudkan perbandaran yang lancar, terhubung, selamat dan lestari yang membolehkan Sunway City Kuala Lumpur terus menerajui kebangkitan sektor pelancongan di Malaysia yang sangat diperlukan,’’ tambah Chan.
Kempen pertama Ke Sana Ke Sini Ke Sunway menjual 18,000 bilik malam dalam dua minggu
Perubahan dalam corak pelancongan domestik – dengan tarikan dalam segmen keluarga menjadi pilihan utama dalam kalangan rakyat Malaysia semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) – mendorong kempen pelancongan domestik Sunway dengan jualan melepasi sasaran awal 10,000 bilik penginapan malam.
Keputusan itu adalah seiring dengan kaji selidik Tourism Malaysia yang diadakan baru-baru ini bahawa 50.9% responden percaya melancong di dalam negara adalah lebih selamat selepas PKPP.
Pakej pertama pelancongan domestik Ke Sana Ke Sini Ke Sunway adalah berharga RM499 – yang mendapat diskaun hampir 70% daripada harga biasa RM1,599. Pakej ini terdiri daripada penginapan dua malam di Sunway Pyramid Hotel untuk dua orang dewasa dan dua orang kanak-kanak; tiket ke Sunway Lagoon untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak, selain baucar `Aktiviti Seronok Keluarga’ daripada Sunway Pyramid Mall.
Pakej pelancongan domestik di Sunway City Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada tawaran pelancongan Sunway untuk menghidupkan semula sektor pelancongan, memberikan ia ruang bernafas setelah tempoh lama tidak aktif disebabkan PKPP. Tahun ini, sektor pelancongan tempatan dianggarkan rugi RM45 bilion berikutan sempadan dan pintu masuk ke negara ini ditutup. - DagangNews.com