Prospek BP Plastics kekal mencabar akibat kelembapan ekonomi global, kata Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

Prospek BP Plastics kekal mencabar akibat kelembapan ekonomi global, kata Malacca Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mei - Prospek BP Plastics Holdings Berhad kekal mencabar akibat kelembapan ekonomi global membuatkan permintaan terhadap produk pembungkusan plastik fleksibel dalam pelbagai sektor menjadi perlahan.

 

Malacca Securities menjangkakan margin keuntungan kumpulan itu kekal antara 4% hingga 6% memandangkan penyusutan inventori resin kos tinggi ditambah dengan penurunan harga resin secara beransur-ansur.

 

Bagaimanapun katanya, ketidakstabilan harga minyak mentah baru-baru ini menimbulkan cabaran kepada mekanisme harga kumpulan, yang diterjemahkan kepada pemampatan margin.

 

"Kenaikan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) daripada 3.7sen/kWj kepada 20sen/kWj bagi pengguna voltan sederhana dan tinggi di Malaysia, ditambah pula dengan pelaksanaan Akta Pekerjaan baharu yang meningkatkan gaji minimum negara kepada RM1,500, serta kos operasi lain yang meningkat dalam persekitaran inflasi berkemungkinan memberi kesan kepada kos operasi kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, dengan jangkaan permintaan yang lebih perlahan pada masa hadapan, pemain industri mungkin melihat kesukaran untuk melepaskan kos yang lebih tinggi di tengah-tengah persaingan yang semakin sengit.

 

Katanya, kumpulan itu kekal komited untuk melabur dalam teknologi termaju, dengan kejayaan pentauliahan mesin Cast Stretch Film ke-10 pada akhir FY22, kapasiti telah meningkat kepada 11.5kMT sebulan (138kMT setahun).

 

"Kumpulan itu menjangkakan untuk mentauliahkan dua unit mesin Blown Co-extrusion menjelang akhir FY23, yang dijangka meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 12.2kMT sebulan (146.4kMT)," katanya.

 

Firma itu menjangkakan bahawa kadar penggunaan akan kekal dalam julat 50% hingga 55% disebabkan oleh permintaan yang lemah yang telah menjejaskan industri buat sementara waktu.

 

"Kami memutuskan untuk menghentikan liputan terhadap kumpulan itu kerana kekurangan kepentingan runcit dan institusi dalam saham serta pengagihan semula sumber dalaman kami.

 

"Kami menganggap bahawa aktiviti dagangan boleh kekal lemah pada masa hadapan, kerana ketiadaan pemangkin baru boleh mengehadkan potensi kenaikan harga saham," katanya.

 

Firma itu menetapkan saranan terakhir 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM1.32 sesaham. - DagangNews.com