Prospek cerah menanti Luxchem apabila ekonomi dibuka semula - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Prospek cerah menanti Luxchem apabila ekonomi dibuka semula - AmInvestment

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Luxchem Corp Bhd. akan menjadi tarikan kepada pelabur apabila ekonomi dibuka semula terutama dengan permintaan yang semakin meningkat bagi produk bahan kimia, menurut AmInvestment Bank Research. 

 

Firma itu juga berkata, syarikat pembekal bahan kimia itu juga berjaya mengharungi kesan pandemik COVID-19 apabila merekodkan pendapatan separuh pertama 2021 yang kukuh, memenuhi jangkaan penuh mereka pada 49%.

 

Selain itu, katanya, untung bersih kumpulan juga berkembang lebih 2 kali ganda didorong oleh nventori diperoleh pada harga rendah sebelum pemulihan harga produk kimia dan kos kewangan serta kadar cukai lebih rendah.

 

"Kumpulan dijangka meraih manfaat daripada permintaan tinggi sarung tangan getah pasca pandemik kerana ia terus memacu perniagaan pemprosesan latek dan nitril yang semakin berkembang menerusi pengembangan kapasiti dan pengambilalihan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagi separuh pertama tahun ini, perolehan kumpulan meningkat 41% tahun ke tahun didorong oleh permintaan dan harga produk kimia yang lebih tinggi apabila ekonomi di seluruh dunia dibuka semula.

 

Untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2021, untung bersih kumpulan melonjak 118% kepada RM16.6 juta berbanding RM7.6 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan meningkat 54% kepada RM215.6 juta.

 

Bagaimanapun, AmInvestment Research berkata, Luxchem mengambil tempoh yang agak lama untuk melengkapkan penempatan persendirian bagi pembelian kepentingan dalam Lexis Chemical, Lexis Specialties dan Lexis Corp. disebabkan sekatan pergerakan. 

 

"Setakat ini, Luxchem telah menempatkan 101.2 juta saham baharu dan mengumpul sebanyak RM72.6 juta. Ini telah diambil kira dalam keseluruhan unjuran kami," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Luxchem dengan nilai saksama pada RM1.04. 

 

Ketika dagangan berakhir tengah hari tadi, sahamnya menokok 1 sen kepada 73 sen. - DagangNews.com