Prospek IGB REIT kekal mencabar akibat lockdown  | DagangNews Skip to main content

Prospek IGB REIT kekal mencabar akibat lockdown 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Prospek IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) masih kekal mencabar berikutan sekatan pergerakan yang masih berterusan di Lembah Klang bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

 

Penganalisis MIDF Research, Jessica Low Jze Teing menjangkakan pendapatan bagi suku ketiga 2021 masih lemah memandangkan hasil sewa yang terjejas dan kurangnya pengunjung ke Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall.

 

"Dengan mengambil kira faktor penyewaan ini, kami menyemak semula unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 lebih rendah dengan masing-masing menyusut pada 26.8% dan 5.3%.

 

"Malah, kami melihat prospek pendapatan IGB REIT kurang menarik dalam tempoh terdekat memandangkan operasi pusat beli-belah di Lembah Klang yang masih mencabar," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' ke atas IGB REIT dengan harga sasaran disemak semula kepada RM1.57 berbanding RM1.59.

 

Hasil dividen pula dianggarkan pada 3.1% bagi tahun kewangan 2021.

 

Bagi tempoh 6 bulan berakhir 30 Jun 2021, pendapatan bersih hartanah (NPI) susut 0.2% kepada RM125.52 juta berbanding RM125.75 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan juga menurun 1.4% kepada RM184.36 juta berbanding RM186.99 juta, sebahagian besarnya disebabkan pengurangan pendapatan daripada tempat letak kereta disebabkan meningkatnya penularan wabak ini.

 

Bagaimanapun, pendapatan pada suku kedua 2021 susut 14.6% kepada RM84.9 juta berikutan bantuan penyewaan yang tinggi diberikan kepada penyewa ketika pelaksanaan sekatan pergerakan.

 

Sebaliknya, pendapatan teras bersih tinggi sedikit kepada RM44.3 juta disebabkan perbelanjaan penyelenggaraan hartanah yang rendah. 

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Sharizan Rosely berkata, walaupun rundingan dengan penyewa untuk tamat tempoh pajakan bagi tahun kewangan 2021 terhenti disebabkan lockdown, tetapi sebahagian besar rundingan itu telah dibuat setahun lebih awal. 

 

"Setakat akhir suku kedua 2021, kami percaya, purata kadar sewa diperbaharui bagi penyewaan yang tamat tempoh tahun ini, sepatutnya melebihi 50%-pajakan yang berakhir dalam tahun kewangan 2021 merangkumi 44% daripada ruang sewaan bersih (NLA) Megamall dan 35% daripada NLA The Gardens Mall.

 

"Kami menjangkakan rundingan penyewaan akan bersambung pada suku keempat dan kadar sewa tidak berubah bagi tahun ini," katanya. 

 

Namun, kadar penghunian pada akhir Jun bagi kedua-dua pusat beli-belah itu melebihi 95%, sama seperti akhir tahun kewangan 2020, yang menunjukkan penyewaan kekal kukuh apabila sektor runcit kembali pulih sekiranya Pelan Pemulihan Negara beralih ke fasa keempat yang menyaksikan pusat beli-belah dibenarkan beroperasi.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' bagi IGB REIT dengan harga sasaran pada RM1.88. 

 

"Kami mengurangkan pendapatan bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 antara 7 hingga 21% setelah mengambil kira bantuan penyewaan yang tinggi pada suku ketiga disebabkan lockdown dan juga pendapatan dari tempat letak kereta yang rendah," katanya. - DagangNews.com