KUALA LUMPUR 6 Sept - Prospek Nova Wellness Group Bhd diramal positif didorong peningkatan perbelanjaan pengguna sepanjang tahun, kata Kenanga Research.
Katanya, peningkatan perbelanjaan itu disokong kejelasan mengenai rasionalisasi subsidi terutama berkenaan RON95.
Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak 13% mulai Disember 2024 dan pemulihan beransur-ansur dalam ekonomi domestik dan pasaran pekerjaan yang akan terus menyokong perbelanjaan pengguna.
"Kumpulan itu juga meningkatkan pengeluaran di kilang baharunya dan memperkenalkan 15 hingga 20 unit penyimpanan stok (SKU) baharu pada FY23, merangkumi rangkaian produk penjagaan kulit, makanan tambahan kesihatan dan makanan berfungsi seperti protein berasaskan tumbuhan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, bagi FY24, keuntungan bersih teras kumpulan sebanyak RM9.3 juta kurang daripada ramalan sebanyak 26% disebabkan jualan yang lebih lemah daripada jangkaan dan penurunan sementara dalam perbelanjaan pengguna.
Penyusutan keuntungan itu diburukkan lagi oleh kos operasi yang lebih tinggi, termasuk bahan mentah dan kadar cukai yang lebih tinggi akibat daripada kehabisan aset cukai tertunda.
Hasil FY24 susut sebanyak 10% tahun ke tahun apabila pengguna mengurangkan perbelanjaan, manakala keuntungan bersih teras susut sebanyak 23% disebabkan peningkatan kos operasi dan liabiliti cukai.
Hasil 4QFY24 syarikat kekal stabil, tetapi keuntungan bersih teras jatuh sebanyak 24% daripada suku sebelumnya, mencerminkan tekanan kos yang berterusan dan kadar cukai yang lebih tinggi.
Firma penyelidikan itu menyukai Nova Wellness kerana model perniagaan bersepadu merangkumi keseluruhan pektrum rantaian nilai farmaseutikal dari konsep sehingga jualan selain margin jualan lebih baik serta pertumbuhan pendapatan didorong pengembangan kapasiti, rangkaian pengedaran yang meluas dan penembusan ke hospital awam domestik.
"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 63 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com