KUALA LUMPUR 28 Feb - Kenanga Research menjangkakan prospek perniagaan frekuensi radio (RF) Inari Amertron Berhad kekal stabil sebagai antara tonggak perniagaan terasnya dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Firma itu berkata, kumpulan itu bagaimanapun akan berdepan penyusutan hasil daripada cip RF antara 5% hingga 8% kesan kelembapan pasaran telefon pintar global.
"Bagaimanapun, bagi jangka masa terdekat, kumpulan itu tidak akan terlepas daripada kelembapan dalam penghantaran telefon pintar global dan menjangkakan hasil daripada segmen RF yang menyumbang 65% daripada hasil kumpulan akan menyusut antara 5% hingga 8%," katanya dalam satu nota kajian.
Firma itu berkata, kemajuan kerjasama perniagaan kumpulan itu kelihatan agak ketinggalan akibat permintaan yang kurang dalam ruangan teknologi.
Katanya, walaupun kumpulan itu berjaya melayakkan diri untuk pelanggan memori, terdapat beberapa penangguhan pada produk LED berkuasa tinggi serta penggunaan gentian optik berkelajuan tinggi.
"Sumbangan daripada projek baharu itu mungkin tertangguh antara satu hingga dua suku tahun memasuki FY24, harga produk daripada projek baharu perlu mencerminkan kenaikan tarif elektrik," katanya.
Firma itu menyukai kumpulan itu kerana menjadi proksi paling hampir untuk penggunaan 5G selain sangat responsif kepada permintaan pasaran dengan pelancaran teknologi baharu seperti pengacuan dua sisi (DSM) dan sistem pada modul (SOM).
Katanya, pengembangannya yang ketara di China menyaksikan kumpulan itu berjaya memanfaatkan dorongan agresif kuasa besar itu untuk pasaran semikonduktor.
"Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati berikutan permintaan pengguna yang semakin berkurangan dalam pasaran telefon pintar," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM2.60 sesaham. - DagangNews.com