Protasco lupus 100% pegangannya dalam IUKL berharga RM30 juta kepada syarikat Hong Kong | DagangNews Skip to main content

Protasco lupus 100% pegangannya dalam IUKL berharga RM30 juta kepada syarikat Hong Kong

KUALA LUMPUR 22 Julai - Protasco Bhd akan melupuskan 100% pegangannya dalam Ikram Education Sdn Bhd, yang memiliki Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), kepada Star Teenagers International Group Ltd (STI) yang berpangkalan di Hong Kong pada harga RM30 juta.

 

Saham kumpulan itu menyusut sebanyak enam sen atau 16.7% kepada 30 sen di Bursa Malaysia pada Isnin dengan lebih 14 juta saham bertukar tangan.

 

Saham terakhir kaunter itu didagangkan pada 34.5 sen, masih susut 1.5 sen atau 4.17%.

 

 

Dagangan saham Protasco telah digantung selama sejam bagi dagangan awal pada Isnin, di tengah-tengah pengumuman penting.

 

Cadangan penjualan itu dibuat selepas Protasco menerima tawaran daripada STI untuk memperoleh Ikram Education, pada Mei tahun ini. Bagaianapun Ia tidak mendedahkan harga transaksi pada masa itu. Walaupun berlaku penurunan pada Isnin, saham Protasco masih meningkat 46.8% tahun ini.

 

protasco

 

"Protasco dijangka memperoleh RM12.7 juta daripada cadangan pelupusan itu dan ia akan menambah baik pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24). Perjanjian itu dijadualkan selesai pada 20 November ini. 

 

"Kumpulan itu merancang untuk menggunakan hasil daripada pelupusan itu untuk membayar liabiliti Ikram Education, membiayai perbelanjaan dan sebagai modal kerja.

 

"Cadangan pelupusan itu memberi peluang kepada syarikat untuk membuka kunci dan mengewangkan pelaburannya dalam Ikram Education, dengan mengambil kira bahawa operasi Ikram Education tidak dianggap sebagai segmen penting kepada Protasco dan anak syarikatnya," katanya.

 

Ikram Education mengalami kerugian bersih sebanyak RM5.3 juta pada FY21, RM15.63 juta pada FY22 dan RM8.37 juta pada FY23.

 

Di peringkat kumpulan, Protasco melaporkan pemulihan keuntungan bersih RM6.48 juta pada FY23, berbanding kerugian bersih RM29.38 juta pada FY22. 

 

Hasil melonjak 28% kepada RM1.13 bilion, daripada RM883.94 juta. - DagangNews.com