KUALA LUMPUR 12 Ogos - Proton membuka pusat alat ganti serantau (RPC) baharu di Kota Kinabalu, Sabah bagi mengurangkan masa penghantaran serta meningkatkan bekalan alat ganti dalam memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang di Malaysia Timur.
Proton berkata, tambahan terbaharu kepada operasi penyimpanan dan pengedaran alat ganti itu mampu mengurangkan masa penghantaran alat ganti sebanyak 30% berikutan peningkatan kapasiti pengeluaran daripada Proton Parts Centre Sdn Bhd (PPCSB) di Malaysia Barat.
Selain itu, RPC itu dibangunkan untuk memenuhi permintaan Sabah, yang merupakan negeri ketiga tertinggi dalam penjualan kenderaan Proton di Malaysia.
Terletak di kawasan komersial Inanam, RPC terbaharu Proton mempunyai ruang lantai kira-kira 28,000 kaki persegi, iaitu 2.5 kali ganda lebih besar daripada lokasi sebelumnya.
Kata Proton, ia boleh menerima sebanyak enam kontena alat ganti di lokasi secara serentak berbanding dengan dua kontena sebelum ini.
“Kemudahan ini kini boleh memproses purata 26 kontena sebulan untuk memanfaatkan sepenuh keupayaannya menyimpan stok selama tiga bulan. Dengan lebih banyak ruang penyimpanan untuk alat ganti, masa penghantaran ke pengedar dan pelanggan dapat dikurangkan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Naib Presiden Jualan dan Selepas Jualan Proton Edar, Edmund Lim berkata, peningkatan keseluruhan dan penyimpanan itu mendorong lonjakan dan turun naik permintaan yang membolehkan Proton meningkatkan daya pemprosesan alat ganti.
“Setakat ini, kami sedang menangani dengan pantas tunggakan pesanan daripada pengedar dan pelanggan kami di pasaran ini,” ulas beliau.
Proton berkata, dengan peningkatan penghantaran alat ganti, pemenuhan pesanan syarikat di Sabah dijangka meningkat secara pesat dengan keupayaan untuk menyimpan stok selama tiga bulan.
Selain itu, PPCSB juga telah melancarkan sistem pengurusan gudang (WMS) baru di semua lokasi awal tahun ini, membolehkan kapasiti penghantaran harian di RPC meningkat sebanyak 66% kepada 300 baris pada bulan Julai daripada 180 baris sebelumnya, dengan kapasiti maksimum 400 baris dijangka dicapai menjelang September 2024.
“Ruang tambahan itu membolehkan pengagihan 8,500 bakul untuk menyimpan alat ganti, meningkat dari 5,000 bakul di fasiliti sebelumnya.
“Ini dapat menghasilkan nilai stok dijangkakan meningkat sebanyak 1.5 kali ganda kepada RM9 juta menjelang Disember 2024, berbanding RM5.8 juta setahun pad 2023,” katanya.
Menurut Proton, pegangan pasaran Proton di Sabah telah meningkat secara berterusan daripada 10% pada 2018 kepada 25.9% pada 2023 dan kini berada pada 27.4% setakat ini pada 2024.
“Peningkatan ini didorong oleh populariti model siri X baru serta Proton Saga yang kekal relevan.
“Pada tahun 2023, jualan kenderaan Proton di Malaysia Timur telah menyumbang sebanyak 15.8% kepada jumlah jualan keseluruhan syarikat dengan model terlarisnya termasuk Proton Saga dengan 13, 700 unit, diikuti oleh Persona dengan 4,264 unit dan Proton X50 dengan 2,955 unit,” ulasnya.- DagangNews.com