KUALA LUMPUR 19 Sept - Proton Holdings Berhad kembali ke Afrika Selatan selepas 10 tahun menerusi pelancaran semula jenama itu oleh Combined Motor Holdings (CMH) selaku pengedar rasmi.
Pengeluar kereta nasional itu dalam satu kenyataan berkata, pelancaran itu adalah serentak dengan pelancaran Proton X70 dan Proton X50.
Kedua-dua model itu boleh didapati dalam model CBU dan ia akan disertai oleh Proton Saga pada awal 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif CMH, Jebb McIntosh berkata, pihaknya mengambil peluang sebagai pengedar atas beberapa sebab tetapi paling penting kerana terdapat jurang dalam pasaran SUV yang berkualiti pada harga yang berpatutan.
Beliau berkata, terdapat banyak jenama mewah yang menjual SUV di Afrika Selatan, tetapi kebanyakannya tidak mampu dimiliki oleh pembeli kereta biasa.
“Rancangan kami adalah menyediakan 25 pengedar dalam tempoh enam bulan.
"Sebanyak 17 cawangan pengedar telah menjalani latihan jualan serta teknikal dan rangkaian penuh alat ganti juga sudah tersedia di pusat pengedaran kami.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, jualan eksport pada akhir bulan Ogos 2022 berjumlah 4,040 unit, meningkat sebanyak 33.9% berbanding jumlah jualan 2021.
"Matlamat kami adalah untuk mencapai 6,000 jualan eksport tahun ini dan yakin ia akan dicapai, kami akan berusaha berusaha untuk mengenal pasti rakan kongsi yang sesuai untuk memasuki lebih banyak negara bagi mencapai matlamat yang lebih besar pada masa hadapan.
"Terdapat banyak potensi untuk pertumbuhan dalam pasaran antarabangsa, bukan sahaja untuk jenama Proton tetapi untuk industri automotif tempatan juga," katanya. - DagangNews.com