KUALA LUMPUR 29 Ogos - Proton menawarkan nilai tambahan sehingga RM23,500 tanpa kos tambahan kepada 3,000 pelanggan pertama yang mendaftar Proton X70 2025.
Katanya, model baharu itu juga datang dengan jaminan lima tahun tanpa had jarak perjalanan, pakej data lima tahun dengan 1GB sebulan dan enam perkhidmatan buruh percuma.
Merujuk pelanggan di Sabah dan Sarawak, SUV C-segment itu menerima pelbagai penambahbaikan bagi memperkukuhkan kehadirannya di rantau itu.
Antara penambahbaikan model SUV itu termasuk gaya luaran, peralatan dalaman, teknologi keselamatan sistem bantuan pemandu (ADAS) tahap 2.
Menurut pengeluar kereta itu, Proton X70 menjadi pilihan utama pelanggan di seluruh Malaysia, dengan lebih 100,000 unit terjual dan tujuh anugerah berprestij.
"Proton X70 memainkan peranan penting dalam kejayaan kami di Sabah dan Sarawak khusunya sumbangan kepada angka jualannya," ujarnya.
Selain itu, Proton X70 2025 juga menawarkan gabungan ciri-ciri terkini yang menarik minat pelanggan di Sabah dan Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, pelancaran tersebut bukan sahaja sekadar memperkenalkan kenderaan baru, tetapi memperkukuhkan komitmen Proton kepada pelanggan di Sabah dan Sarawak.
"Keperluan unik pembeli di Sabah dan Sarawak dan hubungan mereka dengan jenama ini sentiasa mendorong kami untuk menyampaikan produk dan perkhidmatan terbaik.
"Dengan ciri-ciri yang dikemas kini dan gaya yang dipertingkatkan, kami berharap Proton X70 2025 akan membawa Proton ke kedudukan teratas dalam pasaran SUV premium di Sabah dan Sarawak," ujar beliau.
Sementara itu Proton berkata, untuk menangani kebimbangannya tentang ketersediaan alat ganti di Sabah dan Sarawak, syarikat telah membuka dua Pusat Alat Ganti Wilayah (RPC) baharu di Sabah dan Sarawak, satu di Kuching dan satu di Kota Kinabalu. - DagangNews.com