KUALA LUMPUR 3 Jan - Apex Securities memulakan liputan ke atas Central Global Berhad dengan saranan "beli" pada harga sasaran (TP) RM1.00 sesaham.
Katanya, penilaian itu berdasarkan potensi peningkatan sebanyak 16.3% daripada harga semasa 86 sen.
Firma penyelidikan itu berkata, penilaian itu disokong kedudukan pasaran kumpulan yang teguh, inisiatif pertumbuhan strategik, dan prospek yang menjanjikan dalam kedua-dua sektor pembuatan dan pembinaan.
"Sejak memperoleh pegangan majoriti dalam RYRT International Sdn Bhd, Central Global berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pembinaan.
"Dengan buku pesanan sebanyak RM729.49 juta, termasuk sumbangan besar daripada projek Lebuhraya Pan Borneo, cabang pembinaan itu bersedia untuk menyumbang lebih 80% daripada keuntungan kasar kumpulan pada FY25 dan FY26.
"Kami mengunjurkan penambahan buku pesanan tahunan sebanyak RM600 juta, disokong buku tender melebihi RM5.59 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Pada masa sama, kumpulan itu menguasai kira-kira 80% daripada pasaran pita pelekat suhu tinggi Malaysia, meletakkan dirinya sebagai pengeluar pita perindustrian terbesar di dalam negara.
Kapasiti pengeluaran tahunan syarikat sebanyak 30 juta meter persegi dijangka meningkat dua kali ganda kepada 60 juta meter persegi menjelang 2026 berikutan penyiapan kemudahan pembuatan baharu yang lebih cekap.
Langkah ini dijangka memacu pemulihan dalam segmen pembuatan dan perdagangannya, seterusnya memanfaatkan peningkatan permintaan di dalam dan di peringkat antarabangsa.
"Walaupun prestasi kewangan baru-baru ini dipengaruhi oleh prestasi lemah dalam segmen pembuatan, segmen pembinaan kekal sebagai penyumbang tetap.
"Kumpulan itu diunjur mencapai keuntungan bersih teras sebanyak RM9.9 juta pada FY25 dan berkembang dengan ketara kepada RM36.2 juta menjelang FY27.
"Tambahan pula, syarikat itu telah memperoleh penarafan ESG tiga bintang, menonjolkan komitmennya terhadap kemampanan dan tadbir urus yang kukuh," katanya. - DagangNews.com